Kuala Lumpur, 22 Mei 2024, 12:00 – KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjangka bahawa usahawan yang dibimbingnya berpotensi untuk meraih sekitar RM15 juta semasa Pameran Perdagangan Foodservice Australia 2024 yang diadakan di International Convention Centre (ICC), Darling Harbour, Sydney.
Pameran ini berlangsung dari 19 hingga 22 Mei 2024 dan dipimpin oleh YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP, bersama 14 usahawan yang mempromosikan produk halal.
Dato’ Sri Suriani juga merasmikan Pavilion Malaysia pada acara tersebut. Penyertaan Malaysia dalam pameran ini adalah hasil kerjasama antara KUSKOP, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), SME Bank, dan UDA Holdings Berhad.
Dalam kenyataannya, Dato’ Sri Suriani mengharapkan bahawa penyertaan pertama kali di Foodservice Australia ini akan membuka peluang perniagaan yang lebih luas bagi usahawan tempatan, khususnya dalam sektor halal di pasaran global.
Usaha ini selaras dengan inisiatif untuk memperkenalkan dan memperkukuhkan jenama Halal Malaysia serta memudahkan akses produk ke pasaran antarabangsa. Beliau juga menekankan potensi pasaran halal global yang dijangka mencapai USD $9 trilion menjelang 2030.
Semasa program ini, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara syarikat G & H Cake House Sdn Bhd dan Kirpa Traders Pty Ltd (subsidiari Agro 19 Berhad) untuk membekalkan produk Almond Oatmeal Cookies, Fruity Oatmeal Cookies, dan Chocolate Oatmeal Cookies di Sydney.
Selain itu, beliau turut melancarkan tiga produk terbaru dari syarikat Roseputih Sdn Bhd (The Original 5 Paste In 1, Nasi Ayam + Kam Heong + Sambaloca + Sambal Tumis + Sotomix), Palm Fiber Sdn Bhd (Fiber Drink In Filter Cup), dan Samz Holding Sdn Bhd (sos berperisa rendang).
Pavilion KUSKOP memperkenalkan pelbagai produk halal inovatif seperti Fiber Drink in Filter Cup, sos berperisa rendang, dark chocolate tempatan, bubur cendawan, patty burger berasaskan nangka dan cendawan, serta produk-produk pes segera.
KUSKOP berharap bahawa penyertaan ini dapat meningkatkan eksport produk halal negara dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>