Kuala Lumpur, 21 Mei 2024, 16:00 – KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan penambahbaikan dan pengukuhan terhadap garis panduan perkhidmatan tren sewaan khas (Charter Train) bagi memastikan keselamatan dan kepuasan pelanggan.
Langkah ini diambil ekoran kontroversi berkaitan penganjuran pesta hiburan ‘Pinkish Festival’ yang berlangsung di tren sewaan khas, dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah pada Khamis lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, KTMB menjelaskan bahawa penyewa tren telah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihaknya.
“KTMB telah menetapkan beberapa syarat termasuk larangan merokok, penggunaan alkohol, dadah, dan aktiviti yang melanggar undang-undang. Syarat-syarat ini telah disetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami,” ujar KTMB dalam kenyataan tersebut.
KTMB juga menjelaskan peranan mereka sebagai penyedia perkhidmatan, di mana mereka menyediakan tren dan koc-koc sesuai dengan permintaan pelanggan. Aktiviti yang dilakukan dalam tren adalah mengikut garis panduan dan terma yang telah ditetapkan oleh pihak pelanggan.
Sebelum ini, sebuah video yang memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB tersebar di media sosial, dengan lokasi dipercayai berada di Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan yang sama, KTMB turut memaklumkan bahawa mereka telah memperkenalkan perkhidmatan Charter Train sejak September 2021 kepada individu atau syarikat yang berminat untuk menyewa tren khas.
“Perkhidmatan ini telah mendapat sambutan positif dan pernah disewa oleh kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara, serta persatuan-persatuan,” tambah kenyataan tersebut.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>