Filem

 

Kuala Lumpur, 20 Mei 2024, 12:00 – HARI ini, panduan penapisan filem yang baru telah diperkenalkan untuk memastikan karya seni yang dihasilkan oleh penggiat seni berkualiti tinggi dan mematuhi nilai estetika tanpa menyinggung perkara-perkara sensitif yang melibatkan masyarakat negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan bahawa terdapat tiga prinsip utama dalam panduan penapisan filem yang baharu ini: keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, serta moral dan sosiobudaya.

Menurut beliau, panduan ini menggantikan panduan lama yang diterapkan sejak 2010 dan bertujuan memastikan bahawa perkara-perkara yang dipersetujui dalam Perlembagaan, seperti Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi raja, dan penggunaan bahasa, tidak dipertikaikan dalam kandungan filem.

“Lembaga Penapis Filem (LPF) bertujuan untuk mengurangkan arahan pengubahan untuk tidak menjejaskan nilai estetika karya seni,” ujar Saifuddin. “Kami ingin membenarkan kreativiti penggiat seni, dan dalam proses ini, tentunya panduan ini telah ditambah baik daripada versi terdahulu.”

Beliau menambah bahawa panduan baharu ini telah mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk pemain industri, ahli akademik, dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Panduan ini merupakan hasil daripada proses libat urus yang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam industri perfileman tempatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin menekankan bahawa penggiat seni perlu melihat LPF sebagai rakan dan bukannya pihak yang ingin mengehadkan kreativiti mereka.

“LPF perlu membuka ruang untuk libat urus dengan pemain industri, kerana mungkin ada cadangan yang sesuai dengan keadaan semasa daripada mereka,” katanya.

“Saya percaya undang-undang ini adalah dinamik dan bukan statik. Kami ingin memperkukuhkan lagi peranan dan fungsi LPF.”

Pada tahun 2023, LPF menerima sebanyak 11,439 permohonan untuk penapisan yang merangkumi filem, iklan, kandungan stesen televisyen, dan bahan publisiti filem.

Berdasarkan buku panduan penapisan filem baharu yang diedarkan, kandungan filem hendaklah menghindari isu perkauman, ketegangan politik, dan kesalahfahaman terhadap agama.

Selain itu, kandungan filem juga tidak boleh menggambarkan gaya hidup yang liar, tidak berpedoman, songsang, dan bertentangan dengan budaya yang boleh merosakkan nilai murni masyarakat.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

KKM Kuat Kuasa Akta 852, Tangani Penggunaan Rokok Elektronik Babit Golongan Muda