Kuala Lumpur, 15 Mei 2024, 12:00 – KABINET telah bersetuju untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa dari 2,400 meter kepada 2,800 meter sebagai persiapan untuk menjadikannya lapangan terbang antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa persetujuan tersebut diperoleh selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan cadangan ini dalam mesyuarat Kabinet pada hari Rabu lalu.
Menurut Loke, projek ini akan dipercepatkan dan dimasukkan dalam fasa kedua projek naik taraf serta pembesaran LTSIP yang sedang berjalan.
“Secara prinsipnya, Kabinet telah meluluskan projek ini. Ia bukanlah projek baru yang memerlukan tender baru, tetapi merupakan sambungan kepada projek sedia ada,” jelasnya.
Beliau menambah, kos tambahan berkaitan projek ini akan dibincangkan dengan pihak kontraktor, dan Kementerian Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Ekonomi untuk mendapatkan peruntukan tambahan.
“Ini merupakan berita baik untuk Kelantan. Proses rundingan teknikal dengan kontraktor dijangka mengambil masa tiga bulan sebelum projek bermula,” kata Loke.
Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Anwar telah bersetuju untuk menaik taraf LTSIP Pengkalan Chepa agar ia menjadi lapangan terbang antarabangsa. Perdana Menteri berjanji untuk menambah panjang landasan sebanyak 400 meter lagi.
Loke turut menambah bahawa dengan pemanjangan landasan ini, ekonomi dan industri pelancongan di Kelantan akan meningkat.
“Dengan landasan yang lebih panjang, lebih banyak penerbangan antarabangsa boleh dilaksanakan, termasuk penerbangan yang memerlukan tempoh hingga lima jam,” jelasnya.
Mohd Nassuruddin turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Menteri Pengangkutan atas berita gembira ini.
Perdana Menteri juga telah memberi jaminan pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini di Kelantan untuk memenuhi permintaan agar lapangan terbang tersebut dinaik taraf untuk menarik lebih ramai pelancong.
Kredit – BHarian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>