Kuala Lumpur, 11 Mei 2024, 12:00 – KELUARGA kepada salah seorang mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlaku di Lumut, Perak, menerima laporan awal siasatan dengan hati terbuka.
Insiden yang melibatkan dua helikopter tersebut mengakibatkan kematian 10 anggota dan pegawai TLDM pada 23 April lalu.
Noryani, 50, kakak sulung kepada Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, berkata mereka bersabar menunggu laporan akhir yang dijadualkan selesai pada 28 Mei ini.
Beliau juga menyatakan bahawa keluarga sudah menerima kenyataan mengenai pemergian adik bongsunya.
“Saya doakan agar proses siasatan berjalan lancar. Kami sudah redha dengan pemergian adik kami. Pagi semalam, selepas pulang dari berniaga, saya melawat kuburnya. Tanah sudah mendap, dan kami merancang untuk memasang batu nisan esok,” ujar Noryani.
Allahyarham Muhammad Faisol, 36, merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Tanah Hitam. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.
Menurut kenyataan TLDM pada Khamis, laporan awal siasatan menunjukkan bahawa kesemua kru yang terlibat dalam kejadian tersebut berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan layak untuk mengendalikan pesawat.
Selain itu, kedua-dua helikopter yang terlibat disahkan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk terbang, dengan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pengeluar Peralatan Asal (OEM).
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Warganet Perlu Bersikap Sederhana Nyata Sentimen Dalam Media Sosial