Kuala Lumpur, 09 Mei 2024, 12:00 – MALAYSIA bakal memperkenalkan dron amunisi jenis kamikaze yang pertama, dikenali sebagai ‘Todak’, yang merupakan hasil ciptaan syarikat tempatan Mindmatics. Dron ini dijangka akan dilancarkan dalam pasaran tidak lama lagi.
Selama setahun, Mindmatics telah membangunkan ‘Todak’ dan kini proses penyelidikan serta pembangunan sedang diteruskan, dijangka akan siap dalam tempoh enam bulan akan datang.
Inovasi ini pertama kali diperkenalkan di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).
Menurut Pengurus Projek, Azman Ahmad, dron ‘Todak’ direka untuk menyerang sasaran dengan tepat dan berkesan.
“Kami sebelum ini telah membangunkan dron pemantauan, tetapi kali ini kami melangkah lebih jauh dengan mencipta dron kamikaze yang mempunyai tujuan dan objektif khusus,” ujarnya.
Beberapa agensi telah menunjukkan minat terhadap produk ini, dan Mindmatics percaya terdapat potensi yang besar dalam kalangan agensi penguat kuasa tempatan serta di kawasan wilayah.
‘Todak’ dilengkapi dengan algoritma kawalan Kecerdasan Buatan (AI) dan Unit Kawalan Api (FCU) yang bersaiz kecil.
Azman turut menjelaskan bahawa dron ini menggunakan bateri litium-besi pepejal dengan voltan 25.5V dan boleh beroperasi sehingga 40 minit.
‘Todak’ dapat terbang dan menyerang sasaran pegun atau bergerak tanpa memerlukan input pemantauan secara langsung.
Dengan panjang dua meter, lebar sayap 1.35 meter, dan berat pelepasan maksimum 12 kilogram, dron ini mampu membawa beban sehingga 3 kilogram serta mencapai kelajuan 100 kilometer sejam melalui kaedah pelancaran menggunakan lastik (catapult).
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>