Kuala Lumpur, 09 Mei 2024, 16:00 – JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) serta JPJ sendiri tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) untuk mengendalikan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan.
JPJ memandang serius terhadap iklan yang dikeluarkan oleh BJAK melalui laman sesawang dan media sosial mereka, yang mengiklankan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian, termasuk tawaran pemberian cukai jalan percuma.
Menurut JPJ, kenyataan yang dinyatakan dalam laman web BJAK bahawa “Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ” adalah tidak benar dan boleh mengelirukan orang ramai.
JPJ juga telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai mengenai pembaharuan cukai jalan yang dilakukan melalui laman sesawang BJAK, di mana tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini. Selain itu, terdapat juga aduan mengenai caj tambahan yang dikenakan oleh BJAK semasa proses pembaharuan.
Jabatan ini ingin menegaskan bahawa tiada integrasi sistem antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh BJAK. MOT dan JPJ tidak pernah meluluskan sebarang caj tambahan yang dikenakan oleh BJAK kepada pelanggannya.
JPJ menyarankan agar urus niaga pembaharuan cukai jalan dilakukan melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, atau platform rakan niaga JPJ seperti Pos Malaysia, MyEG, dan PUSPAKOM sahaja.
Jabatan ini mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan yang tidak sah, bagi mengelakkan penipuan dan kerugian.
Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk atau menghubungi JPJ untuk maklumat lanjut.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
‘Todak’ – Dron ‘Kamikaze’ Buatan Pertama Malaysia, Berfungsi Serang Tepat Musnahkan Sasaran