Kuala Lumpur, 27 APRIL 2024, 16:00 – KERJA-kerja pemasangan di Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melibatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan, dan telekomunikasi bagi pengoperasian kereta api penumpang dan kargo dijangka bermula Mei depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, menyatakan bahawa kerja-kerja pemasangan landasan dari Gebeng, Pahang ke Dungun, Terengganu sepanjang 92 kilometer telah pun selesai sepenuhnya.
Beliau menambah bahawa pemasangan sistem ini akan dimulakan pada Mei depan untuk memastikan pemasangan landasan dari Dungun ke Kota Bharu, Kelantan boleh dilaksanakan menjelang penghujung Disember tahun ini.
“Selain itu, projek ECRL telah mencatat kemajuan sebanyak 64.01 peratus setakat Mac 2024 bagi keseluruhan jajaran yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL, di sini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, yakin bahawa projek ECRL akan dapat disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang melibatkan 20 stesen telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak 2023.
Ini termasuk kerja-kerja infrastruktur seperti pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen, dan pembinaan depot kereta api.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>