KBS

 

Kuala Lumpur, 24 APRIL 2024, 12:00 – IBU bapa kini boleh menikmati pelepasan cukai individu bagi kos yuran menghantar anak mereka menjalani latihan sukan. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan inisiatif baharu ini yang merangkumi perbelanjaan sukan termasuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan, dengan had sehingga RM1,000.

Menurut Hannah Yeoh, terdapat tiga kriteria utama untuk latihan sukan yang layak menerima pelepasan cukai ini. Pertama, latihan tersebut mesti dijalankan secara berstruktur, sama ada secara ‘one-off’ atau bersiri, seperti kelas, klinik, kursus, dan bengkel.

Kedua, sukan tersebut mesti termasuk dalam senarai yang terdapat di Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], yang mengandungi 103 jenis sukan yang diwartakan.

Ketiga, penyedia latihan mesti merupakan persatuan, kelab sukan, atau syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016. Yuran latihan sukan ini perlu dibuktikan dengan resit pembayaran, termasuk resit yang dijana secara dalam talian. Slip bank dan penyata akaun bank tidak diterima sebagai bukti pembayaran.

Hannah Yeoh turut menasihatkan ibu bapa untuk menyemak terlebih dahulu status penyedia latihan sama ada mereka adalah persatuan, kelab, atau syarikat yang menggunakan khidmat jurulatih berdaftar.

“Ibu bapa perlu pastikan jurulatih tersebut adalah bernaung di bawah persatuan sukan atau kelab yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika tidak, akan ada individu yang mengaku sebagai jurulatih tanpa pengesahan yang sah,” jelas Hannah.

Untuk jangka masa panjang, Hannah menyatakan bahawa Kementerian mahu semua jurulatih mendapat tauliah daripada Institut Sukan Negara (ISN) demi memastikan setiap jurulatih mengikuti syarat dan ketetapan persatuan sukan masing-masing. Ini selaras dengan usaha memastikan semua latihan diberikan mengikut Kod Sukan Selamat yang ditetapkan.

Dengan inisiatif ini, diharapkan lebih ramai ibu bapa akan terlibat dalam memastikan anak-anak mereka mendapat latihan sukan yang berkualiti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Kredit – BHarian

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

10 Kawasan Catat Cuaca Panas Tahap Berjaga-Jaga