Dato Red dan Adira

 

Kuala Lumpur, 27 APRIL 2024, 12:00 – KONFLIK rumah tangga yang melibatkan penyanyi terkenal Adira Suhaimi dan suaminya, Datuk Red, akhirnya menemui noktah apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang.

Datuk Red, 43, yang nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, melafazkan cerai talak satu terhadap Adira, 33, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, di hadapan Hakim Syarie Abdul Hadi Umar selepas mahkamah meluluskan permohonan cerai yang difailkan oleh Adira mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Hakim syarie tersebut turut memerintahkan Adira menjalani tempoh iddah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perceraian mereka secara rasmi.

Pada hari ini, pasangan tersebut dijadualkan untuk lantikan hakam, namun mereka mencapai persetujuan untuk bercerai secara baik dan terma-terma persetujuan tersebut direkodkan oleh mahkamah.

Dalam prosiding tersebut, Adira diwakili oleh peguam syarie Nor Saidah Zakaria, manakala Adnan diwakili oleh peguam syarie Muhammad Akmal Amzan.

Adira memfailkan perceraian buat kali kedua pada 25 Oktober tahun lalu setelah mendakwa tiada lagi persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Adira yang terkenal dengan lagu ‘Pujaan Hati’ pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah yang sama pada 1 April 2019, namun menarik semula permohonan tersebut untuk memberi peluang kedua kepada suaminya serta berusaha demi kebahagiaan anak-anak mereka.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua dan telah dikurniakan empat orang anak yang berusia antara dua hingga tujuh tahun.

Kredit BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Malaysia Mahu Jadi 20 Negara Terbaik Dalam Ekosistem Pemula Global Menjelang 2030