Kuala Lumpur, 24 APRIL 2024, 16:00 – MALAYSIA bertekad untuk berada di antara 20 negara terbaik dalam ekosistem pemula niaga global menjelang tahun 2030, dengan Kuala Lumpur dijadikan sebagai hab pemula dan digital serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa Sidang Kemuncak KL20, yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok, adalah satu forum penting untuk memudah cara syarikat permula dalam menarik pelaburan bernilai tinggi.
Beliau turut menambah bahawa forum ini akan menggalakkan syarikat pemula berkembang ke luar negara dengan memanfaatkan rantaian ekosistem global yang lengkap.
“Saya menghargai sumbangan wakil-wakil syarikat modal teroka dan pelabur yang hadir. Adalah penting untuk dasar-dasar kerajaan mengambil kira perspektif dan strategi jangka panjang mereka.
“Saya menekankan komitmen kerajaan dalam menyokong syarikat-syarikat pemula dengan dasar yang jelas, termasuk visi negara, kekuatan sumber, dan perspektif pelabur,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook selepas menghadiri Majlis Makan Malam Eksklusif KL20 sempena Sidang Kemuncak KL20.
Anwar juga menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk membentuk ekosistem pemula yang dinamik, agar Malaysia dapat diposisikan sebagai hab utama untuk keusahawanan dan inovasi.
Perdana Menteri akan merasmikan persidangan tersebut esok, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>