Banjir

 

Kuala Lumpur, 18 APRIL 2024, 16:00 – LEBIH 300 petugas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi situasi banjir walaupun dalam tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri, Datuk Kalsom Nordin, menyatakan bahawa petugas JKM akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk membantu mangsa banjir, terutama dalam memastikan kebajikan dan keselesaan mereka.

“Petugas JKM Melaka adalah antara yang pertama akan turun padang untuk membantu mangsa banjir, walaupun dalam suasana berhari raya. Mereka akan memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam apa jua situasi,” kata Kalsom.

Beliau juga menambah bahawa JKM menyediakan sesi kaunseling bagi membantu meredakan emosi mangsa yang terjejas harta benda serta memberikan penjagaan 24 jam di PPS yang terlibat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Japerun Pengkalan Batu pada malam Rabu semasa Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kalsom juga menggesa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan yang terjejas banjir untuk memainkan peranan proaktif dalam memastikan mangsa mendapat bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri, seperti kit makanan dan bantuan kewangan.

Namun begitu, beliau menekankan bahawa permohonan bantuan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan untuk memudahkan proses penerimaan bantuan. “Permohonan perlu dilengkapi dengan borang, laporan polis berkaitan rumah yang terjejas banjir, dan gambar kejadian yang disahkan oleh JPKK atau Ketua Kampung, kerana proses ini melibatkan kewangan,” tambahnya.

Beberapa kawasan di tiga daerah di Melaka telah terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat selama lebih dua jam, dan beberapa PPS telah dibuka sejak Ahad lepas.

– BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Gunung Ruang meletus: MAS, AirAsia Batalkan Penerbangan KLIA Ke Sabah, Sarawak