Kuala Lumpur, 18 APRIL 2024, 12:00 – BEBERAPA penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia antara Sabah, Sarawak, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dibatalkan hari ini akibat letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.
Dalam satu kenyataan di akaun media sosial rasmi X, Malaysia Airlines memaklumkan bahawa syarikat itu akan membatalkan beberapa penerbangan yang terjejas.
Penumpang dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan terkini dan mengikuti saranan perjalanan masing-masing.
Malaysia Airlines menyenaraikan 11 penerbangan antara Sabah dan Kuala Lumpur yang dibatalkan, iaitu MH7420 (KUL-TWU), MH7421 (TWU-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2710 (KUL-SDK), MH2711 (SDK-KUL), MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH7404 (KUL-BKI), MH7405 (BKI-KUL) dan MH2613 (BKI-KUL).
Manakala, lapan penerbangan antara Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan adalah MH2520 (KUL-KCH); MH2513 (KCH-KUL); MH2542 (KUL-KCH); MH2543 (KCH-KUL); MH2574 (KUL-MYY); MH2575 (MYY-KUL); MH2742 (KUL-BTU) dan MH2473 (BTU-KUL).
“Pembatalan penerbangan pada 18 April 2024 adalah akibat letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia. Oleh itu, Malaysia Airlines akan membatalkan beberapa penerbangan ke/dari KLIA ke Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, pejabat Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penerbangan yang membawa jenazah Tan Sri Joseph Kurup (pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah) ke Kota Kinabalu yang dijadualkan hari ini juga telah dibatalkan.
“Saya akan memaklumkan masa penerbangan terkini selepas menerima maklum balas daripada MAS (Malaysia Airlines),” katanya.
AirAsia dalam kenyataan mereka berkata bahawa lapan penerbangan berjadual antara KLIA dan Tawau telah dibatalkan. Selain itu, lapan penerbangan antara KLIA dan Kota Kinabalu juga dibatalkan, menjadikan jumlah keseluruhan 16 penerbangan yang terjejas antara KLIA, Kota Kinabalu dan Tawau.
Mereka juga memaklumkan kepada semua penumpang yang terjejas, serta menggalakkan penumpang yang akan ke atau dari destinasi yang terkesan untuk menyemak e-mel dan telefon mudah alih berdaftar mereka untuk pemberitahuan mengenai pembatalan.
“Para penumpang AirAsia yang terbang ke/dari destinasi yang terjejas disarankan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus. AirAsia akan terus memantau situasi di Gunung Ruang dan akan memberikan maklumat terkini apabila ada perkembangan baharu,” kata kenyataan itu.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Mahkamah Rayuan Tetapkan 9 Julai Untuk Dengar Permohonan Muhyiddin