Kuala Lumpur, 16 APRIL 2024, 12:00 – POLIS telah mengedarkan foto suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi semalam ke semua pintu masuk negara di utara tanah air dan pihak berkuasa negara jiran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa arahan ini dikeluarkan sebaik sahaja pihaknya berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden tersebut yang menyebabkan seorang pengawal peribadi mengalami kecederaan parah.
Beliau juga menegaskan bahawa kawalan di lorong tikus di sempadan negara telah diperketatkan untuk menghalang suspek yang dikenal pasti sebagai Hafizul Harawi, 38, daripada melarikan diri ke negara jiran.
Menurutnya, Hafizul dipercayai masih berada di dalam negara dan usaha untuk mengesan lelaki tersebut sedang giat dijalankan.
“Saya yakin dengan kecekapan anggota saya, Hafizul akan ditangkap dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin juga mendedahkan bahawa siasatan awal mendapati suspek menggunakan pistol separa automatik berkaliber sembilan milimeter semasa kejadian tersebut.
“Polis menemui tiga kelongsong peluru di tempat kejadian, di mana satu daripadanya tidak meletup. Kami mengesyaki bahawa Hafizul memperoleh pistol tersebut dari negara jiran,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan, di mana satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan berkata bahawa polis telah melancarkan operasi untuk mengesan lelaki tersebut selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejakinya.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Meta, TikTok Beri Komitmen Soal Keselamatan Dalam Talian Libat Kanak-Kanak