Kuala Lumpur, 16 APRIL 2024, 16:00 – KERAJAAN kini memantau perkembangan terkini serta kesan peningkatan ketegangan di Timur Tengah susulan konflik terbaru antara Iran dan Israel sejak Sabtu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan sedang memantau potensi kesan konflik ini terhadap ekonomi dan rakyat negara.
“Kerajaan akan bertindak bijak untuk memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kita juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada kita,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Sebelum itu, Anwar mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di Timur Tengah.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia berpendirian semua pihak harus berusaha memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.
Menurut beliau, semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.
“Penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan segera,” katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa Malaysia kekal teguh dengan pendirian untuk bersama warga Palestin yang terus menanggung derita akibat konflik tersebut.
Konflik Iran-Israel bermula apabila Iran melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu ke wilayah yang diduduki Israel pada Sabtu lalu.
Pelancaran dron yang dipercayai buatan Iran, Shahed-136, telah disahkan oleh tentera Israel dan media Iran, Press TV.
Iran telah berikrar untuk membalas dendam atas serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang mengakibatkan kematian tujuh pegawai pengawal termasuk dua komander kanan dan menyifatkan serangannya sebagai hukuman bagi ‘jenayah Israel’.
Kredit – SH
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>