Kuala Lumpur, 12 APRIL 2024, 12:00 – KEJAYAAN jaguh Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou, diabadikan dalam sebuah filem terbaharu arahan pengarah terkenal, Adrian Teh, yang berjudul “Gold”.
Adrian menjelaskan bahawa kejayaan Liek Hou memenangi pingat emas dalam sukan badminton telah mencetuskan idea untuk menghasilkan filem ini bersama Astro Shaw.
“Filem ‘Gold’ bertemakan sukan, mengangkat elemen kebanggaan rakyat Malaysia. Idea ini lahir selepas saya menyaksikan temu bual Liek Hou dengan media sejurus kemenangannya.
Momen yang paling mengharukan ialah apabila Liek Hou mengalungkan pingat emas kepada jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek,” kata Adrian di lokasi penggambaran filem tersebut di Stadium Malawati, Shah Alam.
Skrip dan jalan cerita filem ini dihasilkan pada tahun 2021 oleh Astro Shaw dan Act 2 Pictures. Penggambaran filem “Gold” berlangsung selama 31 hari, bermula 12 Mac dan berakhir 11 April, di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Adrian berharap filem ini dapat memberi inspirasi kepada atlet menjelang Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.
Adrian juga mengakui cabaran besar dalam merealisasikan filem semi autobiografi ini. Dia telah mengadakan temu bual dengan Liek Hou dan Rashid melalui aplikasi Zoom semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Adrian juga pernah bertemu Liek Hou secara peribadi, yang pada mulanya sukar mempercayai bahawa kisah hidupnya akan diangkat ke layar perak.
“Saya telah menemu bual Liek Hou beberapa kali sebelum ini dan simpati kerana walaupun telah 11 kali menjadi juara Sukan Paralimpik, tidak ramai yang mengenalinya. Cara pembesaran Rashid dan Liek Hou juga berbeza, di mana Rashid dibesarkan dalam keluarga badminton manakala Liek Hou mula bermain badminton pada usia sembilan atau sepuluh tahun,” jelas Adrian.
Pemilihan pelakon dibuat oleh Adrian sendiri, di mana Jack Tan dipilih untuk memainkan watak Liek Hou. Jack, yang pernah berlakon dalam filem sebelum ini, perlu menjalani latihan intensif selama tiga bulan untuk bermain badminton dengan tangan kiri seperti Liek Hou. Farid Kamil pula dipilih kerana mempunyai penampilan dan aura Rashid.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara merangkap Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan bahawa Astro Shaw komited untuk menghasilkan filem berkualiti tinggi yang dapat memperkasakan industri filem tempatan ke peringkat global.
Filem ini, yang berdasarkan kisah benar kejayaan Liek Hou, diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat.
Selain Jack Tan (Liek Hou) dan Farid Kamil (Rashid), filem ini juga menampilkan pelakon seperti Wan Raja (Datuk Misbun Sidek), Yasmin Hani (isteri Rashid), Fabian Loo (Guan Teng), Freddie Ng (bapa Liek Hou), Lynn Lim (ibu Liek Hou), dan Daniel Cheah (Ah Fat).
Filem “Gold” dijangka ditayangkan di pawagam tempatan pada tahun hadapan.
Kredit – HMetro
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>