MYSAVEFOOD

 

Kuala Lumpur, 11 APRIL 2024, 12:00 – PROGRAM MySaveFood@Ramadan 2024 yang berlangsung selama 26 hari di 139 bazar Ramadan berjaya menyelamatkan sebanyak 60.65 tan makanan dan minuman, dengan nilai anggaran RM724,770.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, menyatakan bahawa program ini juga berjaya menghalang pelepasan gas rumah hijau sebanyak 113,763 kilogram.

Fuziah Salleh menambah bahawa ekosistem pengurusan lebihan makanan sedang dirangka untuk memperkasa pelaksanaan program yang sama pada tahun hadapan.

Selain menyelamatkan makanan yang masih elok, sisa makanan yang diuruskan secara sistematik untuk dijadikan baja kompos juga memberikan banyak manfaat. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus menyokong usaha murni ini dan berharap ia dapat menjadi budaya yang dipraktikkan dalam skala lebih besar pada masa akan datang.

Pada tahun sebelumnya, program ini telah dijalankan di 55 bazar Ramadan dengan 25 tan makanan dan minuman bernilai RM300,000 berjaya diselamatkan.

MySaveFood@Ramadan 2024 merupakan sistem pengurusan berstrategi yang mengumpulkan makanan dan minuman yang masih baik tetapi tidak terjual di bazar Ramadan tertentu sebelum diagihkan kepada para pelajar, rumah kebajikan, gelandangan, dan golongan yang memerlukan.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama antara KPDN dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA), dan melibatkan 2,112 sukarelawan termasuk Gerakan Pengguna Siswa (GPS).

KPDN berharap usaha ini akan menjadi satu budaya untuk mengelakkan pembaziran makanan, dan pada masa yang sama mengalu-alukan penyertaan badan korporat serta badan bukan kerajaan dalam pelaksanaan program seumpamanya.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kerajaan Komited Cari Jalan Naikkan Gaji Penjawat Awam Sebelum Akhir Tahun Ini – Pm