Kuala Lumpur, 09 APRIL 2024, 16:00 –
PENJAWAT awam di Malaysia dijangka akan menerima kenaikan gaji sebelum akhir tahun ini, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan sedang mencari jalan untuk menaikkan gaji penjawat awam yang telah lama tidak dinaikkan.
Anwar berkata bahawa langkah ini diambil kerana beliau mendengar keluhan daripada orang ramai, terutamanya penjawat awam.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan baru-baru ini telah memberikan RM2,000 kepada penjawat awam dan tambahan RM500 lagi atas keluhan yang diterima.
“Dalam tahun ini, kita juga akan mencari jalan untuk menaikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun. Kenapa gaji tidak naik pada tahun 2020, 2021, dan 2022? Ini kerana kita mendengar keluhan orang ramai, dan Alhamdulillah, berita baik akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, selewat-lewatnya pada pembentangan Belanjawan 2025,” kata Anwar.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anwar juga meminta rakyat untuk mendengar dengan teliti ucapan Belanjawan 2025 untuk pengumuman rasmi berhubung kenaikan gaji penjawat awam.
“Saya tidak akan memberitahu bila saya akan umumkan. Oleh itu, dengar sampai habis pembentangan belanjawan nanti,” katanya.
Sebelum ini, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, menyatakan bahawa gaji penjawat awam pada masa ini tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau menegaskan bahawa kenaikan gaji perlu dilaksanakan segera tanpa menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>