Kuala Lumpur, 09 APRIL 2024, 12:00 – SEPANJANG tahun 2035, pengguna dijangka terus berhati-hati dalam berbelanja akibat kos sara hidup yang semakin meningkat. Perkara ini dijangka berlanjutan ke bulan-bulan awal tahun hadapan, menurut analisis terkini.
Cheow Ming Liang, seorang penganalisis dari Kenanga Research, menyatakan kadar inflasi dijangka naik disebabkan pemotongan subsidi untuk barangan keperluan seperti ayam dan beras, kenaikan tarif air dan elektrik, serta peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.
Beliau menjelaskan, perubahan ini berkemungkinan akan meningkatkan kos pembuatan bagi perniagaan, yang seterusnya boleh menyebabkan semakan semula harga produk di pelbagai industri.
“Kami percaya impak terbesar masih belum berlaku, iaitu rasionalisasi subsidi bahan api,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Ming Liang berkata, walaupun impak kepada golongan berpendapatan tinggi mungkin minimum, kumpulan berpendapatan sederhana dijangka mengalami tekanan kewangan paling besar kerana mereka tidak lagi menikmati bahan api bersubsidi.
“Golongan berpendapatan rendah mungkin agak terlindung daripada tekanan ekonomi ini disebabkan oleh bantuan tunai kerajaan yang berterusan, terutamanya subsidi bahan api,” tambahnya.
Selain itu, beliau menjelaskan syarikat-syarikat pengeluar makanan ruji dijangka mendapat manfaat daripada penurunan harga beberapa komoditi kebelakangan ini, yang dijangka memulihkan margin mereka.
Beliau menambah, harga komoditi utama seperti gandum, jagung, kacang soya dan aluminium telah mencatatkan penurunan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Harga gandum, jagung, dan kacang soya menurun lebih enam peratus dalam suku pertama 2024. Sementara itu, harga koko dan kapas berada pada trajektori menaik, dengan harga koko melonjak sebanyak 133 peratus dalam suku pertama 2024 berikutan pengurangan bekalan dari Afrika Barat disebabkan oleh keadaan cuaca buruk dan permintaan yang tinggi.
“Harga kapas juga meningkat sebanyak 13 peratus pada suku pertama 2024, disebabkan oleh penurunan jumlah kawasan penanaman dan stok yang rendah di negara pengeluar utama, manakala indeks perkapalan Shanghai menyaksikan peningkatan hampir 33 peratus dalam suku pertama 2024 disebabkan oleh konflik yang berterusan di rantau Laut Merah,” katanya.
Ming Liang menyatakan, dengan mengambil kira dinamik ini, syarikat seperti Nestle dan Padini mungkin menghadapi tekanan margin pada suku akan datang akibat kenaikan kos koko dan kapas.
Beliau juga menambah, kenaikan indeks perkapalan Shanghai menunjukkan bahawa kos penghantaran untuk Padini dan MR DIY berkemungkinan meningkat kerana sebahagian besar produk mereka diperolehi dari China.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>