Kuala Lumpur, 08 APRIL 2024, 12:00 – MESYUARAT Majlis Kewangan Negara telah meluluskan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri bagi tahun 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa persetujuan telah dicapai untuk menyediakan peruntukan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri berjumlah kira-kira RM8.9 bilion.
Jumlah ini meningkat berbanding RM8.3 bilion pada tahun 2023 dan RM8.1 bilion pada tahun 2022.
“Antara peningkatan pemberian dalam Belanjawan 2024 adalah peningkatan peruntukan penyenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion berbanding RM5.2 bilion pada tahun 2023. Selain itu, pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur, dan kesejahteraan hidup (TAHAP) berjumlah RM400 juta, serta kenaikan pemberian pindahan fiskal ekologi (EFT) kepada RM200 juta berbanding RM150 juta pada tahun 2023,” katanya.
Beliau juga mengumumkan penambahan pemberian khas tahunan kepada Sarawak dan Sabah berjumlah RM300 juta, berbanding RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023.
Peningkatan peruntukan juga diberikan kepada perpustakaan dan muzium negeri sebanyak 10 peratus pada tahun 2024.
Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Anwar, turut dihadiri oleh menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara inklusif.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi Madani, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri ini akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama, atau geografi.
“Peningkatan pemberian yang melibatkan semua negeri di Malaysia akan diberikan secara serentak. Harapan saya adalah agar ia dapat digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan,” ujarnya.
Selain itu, sebanyak RM39.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan pada tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri, berbanding RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion pada tahun 2022.
Anwar juga menyatakan bahawa kelulusan telah diberikan kepada permohonan kerajaan negeri berkaitan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan atau bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.
“Majlis Kewangan Negara meluluskan pembelian jambatan sementara Bailey menggunakan peruntukan pemberian penyenggaraan jalan negeri secara sekali beri bagi tahun 2024. Kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri pula sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah,” tambahnya.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Madani terus bertekad memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua kerajaan negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat Malaysia.
Hasrat ini dizahirkan melalui peningkatan pemberian Kerajaan Persekutuan serta peruntukan perbelanjaan pembangunan di semua negeri untuk tahun 2023 dan 2024.
Kredit – Sinat Harian
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>