Tol Percuma

 

Kuala Lumpur, 04 APRIL 2024, 12:00 – KERAJAAN telah memutuskan untuk memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April ini kepada semua pengguna lebuh raya untuk kenderaan Kelas 1 (persendirian) yang akan pulang ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri. Ini adalah langkah yang diambil untuk meraikan hari bahagia ini bersama rakyat, khususnya yang beragama Islam.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pengecualian tol ini akan berkuat kuasa di semua plaza tol kecuali di sempadan negara seperti Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor. Tempoh tol percuma ini akan bermula dari 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan berakhir pada 11.59 malam, 9 April (Selasa), dengan peruntukan bayaran pampasan sebanyak RM37.6 juta.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat jemaah menteri pada 7 Februari yang lalu, bertujuan untuk menyemarakkan suasana Aidilfitri dan berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia.

Dengan adanya kemudahan ini, jumlah kenderaan di lebuh raya dijangka meningkat kepada 2.46 juta sehari.

Untuk menguruskan perjalanan dengan lebih baik, Datuk Seri Nanta menggalakkan pengguna lebuh raya Utara-Selatan (Plus) untuk merancang perjalanan mereka dengan mematuhi jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang boleh dimuat turun melalui aplikasi digital MyPLUS-TTA.

Aplikasi ini membolehkan pengguna memilih waktu perjalanan yang sesuai berdasarkan plaza tol masuk dan keluar.

Bagi mengurangkan kesesakan semasa Aidilfitri, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya Plus yang telah dikenal pasti sering mengalami kesesakan.

Bilangan lokasi ini meningkat dari 15 yang dilaksanakan semasa Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Pemasangan papan tanda dan lampu indikasi akan membantu pengguna untuk mengetahui status laluan Smart Lane ini.

Datuk Seri Nanta turut mengingatkan pengguna motosikal agar lebih berhati-hati apabila menggunakan lorong kecemasan, kerana kemungkinan mereka tidak menyedari lorong tersebut telah diaktifkan sebagai Smart Lane dan ada kenderaan lain yang mungkin menggunakan laluan tersebut.

Selain itu, dari 1 hingga 17 April, tiada lorong di lebuh raya akan ditutup untuk kerja penyelenggaraan bagi memastikan kelancaran aliran lalu lintas dan mengelakkan kesesakan.

Namun, kerja penyelenggaraan yang tidak memerlukan penutupan lorong masih boleh diteruskan kecuali dalam keadaan kecemasan atau kemalangan. Plus juga akan menyediakan 11 lokasi dengan Emergency Response Team (ERT) untuk memastikan bantuan cepat apabila diperlukan.

Credit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

8.4 juta terima STR Fasa 2 Rabu ini