
Kuala Lumpur, 01 APRIL 2024, 16:00 – MULAI Rabu ini, sebanyak 8.4 juta rakyat Malaysia bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa peruntukan untuk Fasa 2 kali ini telah meningkat sebanyak 20% berbanding tahun lalu, dengan jumlah kewangan yang diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion sebelum ini.
Menurut Anwar, kerajaan berkomitmen untuk meneruskan bantuan STR dengan menambah jumlah penerima kepada 9 juta orang pada tahun ini. Ini bermakna sekitar 60% daripada rakyat dewasa akan mendapat manfaat dari sumbangan ini. Pada tahun lalu, peruntukan STR adalah sebanyak RM8 bilion, manakala untuk tahun ini, jumlahnya telah meningkat kepada RM10 bilion.
“Jumlah bantuan tunai kepada keluarga pada tahun 2023 adalah RM3,100, manakala pada tahun 2024, ia akan meningkat kepada RM3,700 setiap keluarga,” jelas Anwar dalam ucapannya di perhimpunan bulanan bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Bagi golongan bujang, terdapat peningkatan dalam bayaran STR untuk tahun ini, dari RM350 pada tahun lalu kepada RM500. Fasa 1 telah dibayar pada bulan Januari dengan jumlah RM500, dan Fasa 2 dijadualkan akan dibayar pada 3 April.
Kementerian Kewangan menyatakan bahawa sumbangan ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima, dan juga akan disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan bahawa reformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani tidak hanya bertujuan untuk memperbaiki struktur kewangan negara tetapi juga untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih adil.
“Kerajaan akan terus meningkatkan bantuan tunai sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara dan pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” tambah beliau.
Untuk memudahkan rakyat, pendaftaran STR 2024 kini dibuka sepanjang tahun, memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memanfaatkan bantuan ini. Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka akan terus meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi dilakukan. Untuk maklumat lanjut mengenai status kelayakan STR dan soalan lazim, anda boleh melayari Portal Rasmi STR di https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Kementerian Kewangan juga mengingatkan penerima STR agar berhati-hati dengan pautan yang tidak sahih yang mungkin digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat mengenai program STR.
Pembayaran STR Fasa 1 telah diagihkan kepada 8.2 juta penerima pada bulan Januari, dengan kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah menerima antara RM100 hingga RM650, manakala isi rumah dengan pendapatan RM2,501 hingga RM5,000 menerima antara RM100 hingga RM300.
Penerima kategori warga emas tanpa pasangan dan golongan bujang pula masing-masing menerima RM150 dan RM100.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>