Kuala Lumpur, 25 MAC 2024, 12:00 – KEMENTERIAN Komunikasi kini sedang meneliti beberapa aspek sebelum membuat keputusan mengenai tindakan ‘gam’ terhadap artis bermasalah dari muncul di program televisyen (TV).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa kementerian sentiasa peka dengan kontroversi dan isu-isu yang melibatkan salah laku artis baru-baru ini.
“Kita masih belum membuat keputusan atau mempertimbangkan langkah-langkah seperti ‘gam’ terhadap artis. Dari segi disiplin, tindakan tersebut mungkin memberi kesan kepada periuk nasi artis jika mereka melanggar batas.
“Kami memahami kebimbangan ini dan kementerian tentu mengambil berat, terutamanya mengenai beberapa kontroversi yang melibatkan artis akhir-akhir ini.
“Walaupun artis merupakan pempengaruh, sama ada mereka terlibat dalam isu atau tidak, kita tidak boleh menafikan hakikat ini. Saya lihat kebanyakan artis tidak mempunyai masalah. Namun, mungkin disebabkan oleh beberapa kes, keseluruhan industri terkena tempiasnya,” katanya dalam satu majlis iftar sempena Hari Seniman Negara 2024 di Dataran Karyawan, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) malam tadi.
Fahmi juga menegaskan bahawa hukuman ‘gam’ terhadap artis mungkin kurang sesuai pada masa kini kerana perubahan dalam industri kreatif. Namun, setiap artis perlu berhati-hati dan saling menasihati antara satu sama lain.
“Kita mungkin perlu meneliti beberapa aspek lebih lanjut. Saya berharap artis akan mengambil tanggungjawab untuk menasihati rakan-rakan mereka.
“Harapan saya adalah untuk mengelakkan tindakan ‘gam’ seperti yang pernah dilihat pada tahun 1980-an atau 1990-an. Kini, dengan kemajuan teknologi, kita boleh melihat siaran berkaitan artis di telefon bimbit.
“Oleh itu, kita perlu mencari penyelesaian yang lebih sesuai dengan zaman sekarang tetapi tetap mengambil kira beberapa insiden yang berlaku,” tambahnya.
Gesaan untuk ‘gam’ artis yang terlibat dalam masalah moral menjadi hangat selepas laporan mengenai artis berstatus suami orang, Aliff Aziz dan Ruhainies, yang ditangkap berkhalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara baru-baru ini.
Penggiat industri kreatif mencadangkan agar artis yang bermasalah dan terlibat dalam isu moral dikenakan tindakan seperti digantung dari muncul di TV.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>