Kuala Lumpur, 24 MAC 2024, 16:00 – MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan sistem e-Dereg yang membolehkan pemilik kenderaan membatalkan pendaftaran kenderaan mereka dalam tempoh kurang dari satu jam, tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Langkah ini diambil untuk menangani masalah kenderaan terbiar yang semakin membebankan kawasan perumahan.
Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (e-Dereg) yang diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertujuan memudahkan proses pelupusan kenderaan yang tidak lagi digunakan, sama ada disebabkan kerosakan serius atau kos pembaikan yang tidak berbaloi.
Dengan sistem ini, pemilik boleh melengkapkan proses pembatalan pendaftaran kenderaan mereka secara dalam talian tanpa perlu berurusan secara fizikal di pejabat JPJ.
Menurut Loke, bagi memastikan proses pelupusan kenderaan mematuhi peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sistem ini hanya boleh digunakan di pusat-pusat Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (AATF) yang dilesenkan oleh JAS.
Pada masa ini, sistem ini akan mula dilaksanakan melalui Car Medic Sdn. Bhd di Bandar Teknologi Kajang, yang merupakan salah satu AATF berlesen.
Pemilik kenderaan mempunyai beberapa pilihan: mereka boleh mengunjungi AATF sendiri, meminta syarikat datang ke lokasi mereka, atau menggunakan khidmat penunda untuk membawa kenderaan ke fasiliti tersebut.
Loke turut memaklumkan bahawa JAS telah memberikan 10 lesen AATF, tetapi lapan daripada fasiliti ini masih belum aktif. Beliau berharap fasiliti-fasiliti ini akan segera memulakan operasi mereka untuk memenuhi keperluan seluruh negara.
Di Selangor, misalnya, terdapat ribuan kenderaan terbiar di kawasan perumahan dan tepi jalan yang sering menimbulkan aduan serta memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghadapi kesukaran dalam proses pelupusan kenderaan terbiar kerana memerlukan prosedur yang panjang, termasuk penghantaran notis, pengangkutan kenderaan ke depoh, dan permohonan kepada mahkamah.
Loke menekankan bahawa masalah ini semakin serius, menunjukkan betapa pentingnya sistem e-Dereg dalam memudahkan proses pembatalan pendaftaran secara sah dan cepat.
Ini akan mengelakkan kenderaan terbiar terpaksa dijual di kedai besi buruk, yang mana mungkin menimbulkan risiko liabiliti jika kenderaan tersebut disalahgunakan.
Dengan adanya sistem e-Dereg, pemilik tidak perlu risau tentang tanggungjawab ke atas kenderaan yang sudah dinyahdaftar, kerana pendaftaran tersebut akan dikeluarkan dari sistem JPJ, melindungi mereka daripada sebarang liabiliti di masa hadapan.
Kredit – BERNAMA
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>