PTPTN

 

Kuala Lumpur, 22 Mac 2024, 16:00 – PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diingatkan agar memanfaatkan peluang diskaun bayaran balik pinjaman yang akan berakhir pada 31 Mac ini.

Menurut kenyataan PTPTN, dari 14 Oktober 2023 hingga 31 Januari lepas, lebih 394,000 peminjam telah menikmati insentif diskaun bayaran balik dengan jumlah diskaun yang diberikan sebanyak RM57.78 juta daripada kutipan bayaran balik yang layak diskaun berjumlah RM442.09 juta.

“Melalui pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 15 peratus bermula dari 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024. Diskaun ini merangkumi tiga kategori,” menurut kenyataan tersebut.

Kategori-kategori tersebut adalah: diskaun 10 peratus untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam satu bayaran, dan diskaun 15 peratus untuk bayaran melalui potongan gaji atau debit terus berjadual.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, menyatakan penghargaan kepada kerajaan atas pemberian insentif ini yang memberi manfaat kepada peminjam PTPTN.

“Komitmen peminjam dalam membuat bayaran balik amat dihargai untuk memastikan kesinambungan dana pendidikan bagi generasi akan datang. Ini sekaligus membantu memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) akibat masalah kewangan,” kata Ahmad Dasuki.

Beliau juga menambah bahawa PTPTN telah menyediakan pelbagai saluran bayaran balik untuk memudahkan peminjam, termasuk melalui aplikasi myPTPTN yang memudahkan, cepat, dan selamat.

Untuk pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03-2193 3000, Live Chat di www.ptptn.gov.my, E-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/, eksekutif jualan PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn atau melalui media sosial rasmi PTPTN.

Kredit – BERNAMA

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Agong Titah ‘Bulan Madu’ Hampir Tamat, Siap Sedia Memerintah Negara