Kuala Lumpur, 22 MAC 2024, 12:00 – YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengumumkan bahawa baginda akan memulakan kaedah pemerintahan yang sebenar selepas tempoh “bulan madu” berakhir dalam masa kurang dua minggu lagi.
Melalui hantaran di akaun Facebook rasmi “Sultan Ibrahim Sultan Iskandar” hari ini, baginda menyatakan bahawa baginda akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan tegas untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara.
“Patik bukanlah sebuah patung yang hanya untuk disembah atau dijadikan perhiasan di majlis-majlis, atau dipaksa mengikuti segala arahan menteri,” titah baginda.
“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan patik memegang tampuk Ketua Negara. Setelah tempoh ‘bulan madu’ ini tamat, patik akan memulakan cara pemerintahan yang sebenar,” titah Seri Paduka Baginda.
Pengumuman ini disampaikan dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 di Istana Negara, yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Dalam hal pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat, Sultan Ibrahim menyatakan bahawa anugerah tersebut adalah sebagai penghormatan kepada individu yang telah memberikan jasa, menyumbang khidmat bakti, atau menyokong Wilayah Persekutuan. Baginda juga memaklumkan bahawa pemilihan penerima dilakukan dengan teliti.
“Patik telah meneliti setiap calon yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. Tahun ini, patik memutuskan hanya 36 penerima yang benar-benar layak untuk menerima anugerah ini,” jelas Seri Paduka Baginda.
Kredit – Harian Metro
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>