Anak Bulan

 

Kuala Lumpur, 04 MAC 2024, 12:00 – UMAT Islam di Malaysia dapat menetapkan tarikh permulaan puasa Ramadan tahun ini setelah Majlis Raja-Raja Malaysia mengumumkan bahawa malam Ahad, 10 Mac 2024 bersamaan dengan 29 Syaaban 1445 Hijriah akan menjadi hari untuk melihat anak bulan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menyatakan dalam kenyataan bahawa proses penentuan tarikh permulaan puasa akan bergantung kepada kaedah Rukyah dan Hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dijangka akan mengumumkan tarikh permulaan puasa pada malam tersebut melalui siaran radio dan televisyen.

Kenyataan itu menyebut jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.

Selain itu Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Lokasi melihat anak bulan di Perak adalah di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Lokasi lain ialah Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu, serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.

Selain itu Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak, Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; dan di Pahang adalah di Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188.

Turut menjadi lokasi melihat anak bulan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Orang Asli perlu berubah, kurangkan berhibur melampau – Ramli