
Kuala Lumpur, 23 Februari 2024, 12:00 – DALAM usaha menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino yang sedang melanda, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, menggesa jabatan dan agensi berkaitan untuk bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar dan operasi pembenihan awan.
Keputusan ini telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024.
Menurut Nik Nazmi, jabatan dan agensi yang terlibat perlu sentiasa bersedia untuk melaksanakan pemadaman kebakaran secara serta-merta dan operasi pembenihan awan sekiranya perlu, dengan syarat keadaan atmosfera yang sesuai.
“Kerajaan juga sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri juga perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara.
Maklumat boleh dicapai melalui aplikasi myCuaca dan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, aplikasi MyIPU dan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kementerian, jabatan dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarkan Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU),” katanya.
Malaysia kini berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac. Taburan hujan yang berkurangan menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering.
Sementara itu, fenomena El Nino dengan intensiti kuat dijangka berlarutan sehingga suku kedua 2024. Peralihan El Nino Southern Oscillation (ENSO) kepada neutral dijangka berlaku sekitar April hingga Jun ini.
Nik Nazmi menegaskan bahawa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama kementerian, jabatan, agensi, dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan bersepadu bagi membanteras kebakaran tapak pelupusan sampah haram.
NRES juga akan menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara negara serta kesihatan awam.
Berdasarkan rekod bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Februari lepas, terdapat 1,043 aduan kes pembakaran terbuka dan pembakaran sampah sarap merupakan aduan tertinggi melibatkan 715 kes.
JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 79 arahan di lapangan, lima kompaun, 12 notis arahan, dan 666 pemantauan berkaitan pembakaran terbuka.
Nik Nazmi menyeru semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka sebagai langkah pencegahan. “Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Laungan Keramat ‘Merdeka’ Bergema Di Banda Hilir Selepas 68 Tahun