Per 153

 

Kuala Lumpur, 21 Februari 2024, 16:00 – PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen kerajaan dalam mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menyatakan bahawa tidak perlu ada semakan terhadap Perkara 153 yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Kita pertahankan kedudukan Perlembagaan termasuk (Perkara) 153. Tak perlu bincang, dah ada dalam Perlembagaan,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, telah menggesa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) untuk meneliti kesan sebenar kedudukan istimewa bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada dasar afirmatif telah disalahgunakan oleh segelintir golongan elit bumiputera.

Perkara 153 (1) menetapkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak, serta kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Ia melibatkan pelbagai aspek termasuk jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan atau latihan, serta kemudahan khas lain yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian ICIEF, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengajak pengamal industri dan pembuat dasar untuk memperluaskan idea guna memajukan ekonomi dan kewangan Islam, tidak hanya untuk negara Islam tetapi juga bukan Islam.

Anwar menyatakan bahawa ICIEF akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah membangunkan ekonomi kewangan Islam agar lebih mampan dan manusiawi.

Persidangan ICIEF yang berlangsung selama tiga hari, yang bermula pada Selasa, telah menghimpunkan hampir 500 peserta dari pelbagai negara termasuk Pakistan, United Kingdom, Arab Saudi, Turkiye, Indonesia, Amerika Syarikat, Nigeria, Norway, Jerman, dan India.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kerajaan Lancar Kod Etika Wartawan,Elak Berita Palsu