Kod Etika

 

Kuala Lumpur, 21 Februari 2024, 12:00 – PELANCARAN Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu pada hari ini dilihat tepat pada masanya untuk membimbing dan mengingatkan golongan pengamal media.

Pelancaran ini dilihat sebagai satu langkah yang tepat pada masanya untuk membimbing dan mengingatkan para pengamal media mengenai kepentingan profesionalisme dalam menyebarkan maklumat dengan integriti serta menyuarakan pandangan yang seimbang dan adil.

Kod Etika yang telah dibangunkan lebih tiga dekad lalu kini mengalami pembaruan menyeluruh untuk menangani cabaran dan landskap semasa. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa pembaruan ini bertujuan untuk terus memacu media tempatan sebagai sumber yang boleh dipercayai bagi rakyat.

Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan, Datuk Ahirudin Attan, yang juga dikenali sebagai ‘Rocky Bru’, berkongsi pandangan mengenai kod versi baharu tersebut. Beliau menyatakan bahawa dengan perkembangan dunia digital, perubahan dalam bidang kewartawanan adalah suatu keperluan.

“Kini kami telah melangkah ke dunia digital dan setiap apa pun boleh diakses secara dalam talian jadi pada asasnya kewartawanan juga perlu dan telah berubah, jadi kami perlukan versi baharu kod etika ini.

“Kod ini tidak bermaksud untuk merumitkan atau mengongkong kebebasan media sebaliknya ia akan membezakan kita dengan ‘citizen journalist’ atau apa yang saya panggil ‘quasi journalist’,” katanya ketika ditemui di luar Majlis Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia pada Selasa.

Ahirudin yang juga dikenali sebagai ‘Rocky Bru’ berkata, hanya wartawan profesional sahaja mampu mematuhi kesemua lapan kod yang disemak semula oleh Jabatan Penerangan (JaPen).

“Tak kisah lah Kod Kewartawanan 1989 ka (sewaktu kali pertama dilancarkan), kod 2024 ka ataupun kod Kewartawanan 2030 ka selaku golongan profesional kami boleh (mematuhi kod itu)…kerana kami bercakap soal berlaku adil, ketelusan dan berasaskan fakta.

“Kami tidak berkhidmat kepada ahli politik atau ahli perniagaan tetapi memberi khidmat kepada orang ramai, rakyat dan hanya wartawan profesional mampu berbuat demikian. Kami adalah yang tulen,” tegasnya.

Datuk Yong Soo Heong, bekas Ketua Pengarang Bernama dan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), menyokong pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia akan memperkukuh nilai dan standard kerjaya wartawan.

Yong yang juga Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) berkata, kod itu memberi panduan kepada pengamal media untuk memelihara integriti dalam pekerjaan mereka ketika mengejar laluan kebenaran, keadilan dan kebebasan.

“Dalam mematuhi kod etika ini, ia juga boleh menyediakan perlindungan perundangan kepada wartawan untuk mempertahankan diri daripada dakwaan memfitnah atau isu lain,” katanya.

Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, menyambut baik penambahbaikan ini. Beliau menyatakan bahawa kod etika ini merupakan panduan yang baik untuk media dalam penghantaran berita, dan memberikan perlindungan perundangan kepada wartawan dari tuduhan fitnah atau isu lain.

“Saya berpeluang untuk menyertai sebahagian daripada perbincangan dan secara keseluruhan kod etika ini merupakan panduan yang baik untuk media apabila kami menghantar berita,” katanya.

Inisiatif pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia adalah hasil daripada Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), yang menggariskan lapan tanggungjawab utama wartawan.

Antara tanggungjawab tersebut ialah menjadi suara kepada masyarakat majmuk, menjadi agen pemudah cara dialog, serta menjalankan tugas dengan telus, berintegriti, dan konsisten untuk berlaku adil dalam menyampaikan maklumat tanpa dipengaruhi oleh kepentingan peribadi.

Kod Etika Wartawan Malaysia baharu ini terdiri daripada lapan etika utama iaitu:

i. Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk;

ii. Wartawan hendaklah telus dan berintegriti;

iii. Wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi;

iv. Pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi;

v. Kesahihan dan ketetapan maklumat;

vi. Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber;

vii. Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka; dan

viii. Wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

97.78 Peratus Syarikat Produksi Tidak Mencarum KWSP