KWSP Produksi

 

Kuala Lumpur, 20 Februari 2024, 21:00 – SEBANYAK 97.78 peratus syarikat penerbitan filem, drama, dan seni di Malaysia tidak sedar akan keperluan untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Dapatan itu diperoleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Kajian Pengajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banyak syarikat tidak memiliki kesedaran keperluan mencarum untuk pelakon kanak-kanak dan orang muda.

“Daripada kajian dijalankan hanya 2.22 peratus melakukan caruman KWSP, sementara 97.78 peratus tidak sedar mereka sepatutnya mencarum kerana mereka tidak melihat pelakon kanak-kanak dan orang muda sebagai penyumbang pendapatan kepada keluarga.

“Perkara ini adalah antara dapatan daripada hasil temu bual bersama pelakon kanak-kanak zaman dahulu seperti Aziz M Osman, Fauziah Ahmad Daud dan beberapa pelakon lain.

“Mereka berkongsi pengalaman terima tawaran sebagai orang yang terbabit dalam bidang seni, tetapi mungkin tidak ada satu kesedaran yang tinggi,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku Laporan Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia dan Kajian Diaspora Malaysia di Brunei Darussalam yang berlangsung di Jabatan Perangkaan Malaysia, di sini, pagi ini.

Mohd Uzir berkata, keputusan itu tidak secara menyeluruh kerana ia adalah berdasarkan kajian bersasar terhadap pelakon kanak-kanak.

“Kalau dilihat, ini salah satu kajian yang menggunakan kajian bersasar yang diteliti dalam senario pelakon kanak-kanak dalam drama.

“Saya yakin, ini tidaklah boleh dijadikan secara keseluruhan industri bagi sektor perfileman, drama dan seni. Fokus kita adalah kepada kanak-kanak.

“Mungkin kalau orang dewasa secara automatik syarikat produksi akan melihat kekuatan akta dan keperluan untuk mencarum,” katanya.

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa 73.1 peratus syarikat produksi yang terlibat dalam filem dan drama tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Sebanyak 52.9 peratus syarikat tidak pernah memohon lesen, manakala 47.1 peratus tidak pasti berkenaan permohonan lesen hiburan awam.

Kajian Penggajian Pelakon Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Filem dan Drama di Semenanjung Malaysia dilakukan antara 8 Februari hingga 31 Disember tahun lalu, membabitkan 361 syarikat yang menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem serta drama.

Turut menyertai kajian ini adalah 27 wakil daripada kementerian, jabatan, agensi, ahli akademik, persatuan majikan, kesatuan sekerja, penerbit televisyen, syarikat produksi, pengarah, dan penerbit filem, termasuk bekas pelakon kanak-kanak.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Kerajaan Cadang Hantar Pelajar Malaysia Ikuti TVET Di Luar Negara – Zahid Hamidi