Kuala Lumpur, 20 Februari 2024, 16:00 – KERAJAAN Malaysia kini mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan merancang untuk menghantar pelajar ke China, selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa perancangan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kualiti TVET negara, setelah sebelum ini mengutamakan penghantaran pelajar ke Jepun dan Korea Selatan.
“Selain Jepun dan Korea Selatan, saya yakin hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah untuk melihat juga penghantaran pelajar Malaysia ke China bagi mempelajari beberapa bidang ilmu berteknologi tinggi.
“Dasar Pandang Ke Timur 1.0 tidak memasukkan China sedangkan mereka sama maju kalau tidak pun lebih dari Jepun dan Korea Selatan,” katanya kepada media Malaysia selepas melawat Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN di sini, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Model KOSEN ditekankan sebagai contoh konsep pembelajaran TVET yang menyeluruh dan terangkum, memberikan peluang pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang tersebut seawal usia 15 tahun.
Terdahulu, Ahmad Zahid pada majlis ramah mesra dengan kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jepun, memaklumkan lebih ramai pelajar akan dihantar mengikuti pengajian TVET di luar negara selaras usaha kerajaan memperkasa bidang TVET negara.
Lawatan kerja Ahmad Zahid ke Jepun selama tujuh hari juga melibatkan rancangan penggubalan Dasar TVET Negara, yang dijangka akan dibentangkan di Kabinet pada bulan depan dan dilancarkan pada 2 Jun ini sempena Hari TVET Negara.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kerangka utama dasar berkenaan sudah tersedia dan pihak Sekretariat TVET sedang mengemas kini semua maklumat.
Ahmad Zahid berkata, pihak Sekretariat TVET juga sudah mengedarkan Dasar TVET Negara kepada 12 kementerian, Jabatan Peguam Negara dan beberapa agensi lain untuk mendapatkan pandangan.
“Selepas ini selesai, kami akan lakukan pembentangan kepada Jemaah Menteri. Insya-Allah pada Mac ini, saya sendiri akan membentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dapatkan kelulusan bagi pelaksanaan dan pelancarannya pada Jun nanti,” katanya.
Ketika ini Malaysia mempunyai 1,345 institusi TVET dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 92.5 peratus.
Ahmad Zahid berkata, rangka kerja itu akan menjadi garis panduan untuk program TVET di seluruh negara bagi disesuaikan demi memenuhi keperluan industri.
Beliau yakin bahawa Dasar TVET Negara tidak hanya akan meningkatkan kebolehpasaran, tetapi juga akan memberikan daya saing yang lebih baik kepada tenaga kerja Malaysia, sekaligus membentuk asas untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran negara.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>