Kuala Lumpur, 19 Februari 2024, 12:00 – PRASARANA Malaysia Bhd (Prasarana) akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut pampasan berjumlah RM38 juta terhadap syarikat pemaju dan pemilik tapak pembinaan hotel. Hotel tersebut didakwa menjadi punca gangguan operasi stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya dan Masjid Jamek.
Projek pembinaan hotel 44 tingkat tersebut didakwa menjadi punca kerosakan struktur jejambat dan keretakan pada tiang berhampiran stesen, yang seterusnya menjejaskan perkhidmatan LRT lebih setahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa jumlah tuntutan sebanyak RM38 juta melibatkan kos terpaksa ditanggung oleh Prasarana, termasuk perbelanjaan kerja-kerja pembaikan dan penyediaan perkhidmatan bas sementara sepanjang tempoh stesen ditutup.
Beliau menegaskan bahawa Prasarana akan terlebih dahulu melaksanakan kerja pembaikan sebelum menuntut pampasan daripada pemaju, dengan tujuan mengurangkan gangguan lebih lanjut kepada perkhidmatan LRT.
“Untuk kita tuntut pampasan daripada pemaju, kita akan tuntut daripada pemaju dan kita akan serahkan kepada Prasarana untuk melaksanakan kerana arahan daripada Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk kita laksanakan dulu kerja pembaikan dan selepas itu, kita buat tuntutan pampasan.
Terdahulu, Loke meninjau hari pertama pembukaan perkhidmatan LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling yang sebelum ini terjejas kerana ditutup, selepas berlaku kerosakan pada struktur berhampiran Stesen LRT Bandaraya.
Sebuah projek pembinaan hotel 44 tingkat didakwa menjadi penyebab kerosakan berhampiran landasan stesen LRT Bandaraya sehingga menjejaskan perkhidmatan, didakwa tidak mematuhi Garis Panduan Zon Perlindungan Rel daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ini kerana mengikut peraturan Seksyen 8 bawah Peraturan Kereta Api 1998 (Zon Keselamatan Kereta Api), sebarang projek pembinaan di zon keselamatan kereta api perlu mendapatkan kelulusan daripada APAD sebelum kebenaran dikeluarkan agensi itu selepas siap kajian.
Mengikut syarat ditetapkan APAD, asas kerja yang dilakukan di penimbal (buffer) pertama perlu mematuhi jarak 60 meter daripada tiang, sementara penimbal kedua mesti berkedudukan 45 darjah daripada cerucuk.
Prosedur merangkumi pelbagai aspek seperti teknikal dan geoteknik itu bagi melihat dan memastikan tiada implikasi terhadap infrastruktur ataupun terhadap keselamatan kereta api.
Mengulas projek pembinaan berdekatan struktur stesen berkenaan, Loke menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan pembangunan di tapak berkenaan.
Sama ada projek pembangunan terbabit akan diteruskan atau tidak, beliau berkata ia di luar bidang APAD kerana terletak di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Tetapi sekiranya projek ini diteruskan, syarat-syarat yang ketat perlu kita letakkan supaya gangguan ini dan kerosakan ini tidak berulang sama sekali.
“Kita amat kesal dengan apa berlaku kerana setahun kita terpaksa menutup laluan antara kedua-dua stesen ini. Kita terpaksa ambil iktibar.
“Justeru, pihak Prasarana akan memantau lebih dekat sebarang kerja-kerja pembinaan dekat Stesen Bandaraya ini atau di mana-mana stesen ini akan jadi pengajaran kepada kita, supaya lebih berhati,” katanya.
Loke menekankan kepentingan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan APAD untuk mengelakkan kerosakan kepada struktur stesen pengangkutan awam.
Beliau juga menasihatkan pihak berkuasa tempatan supaya memastikan kelulusan APAD dan Prasarana sebelum memberikan kebenaran untuk projek pembinaan berdekatan stesen rel.
Mengenai projek pembangunan hotel tersebut, Loke menyatakan bahawa pihak Prasarana akan terus memantau perkembangan dan memastikan syarat-syarat yang ketat diletakkan jika projek tersebut diteruskan.
“Maka syarat ketat perlulah dipatuhi dan kita harap ada kerjasama dengan semua pihak PBT,” katanya.
Mengenai sama ada DBKL cuai dalam memberi kebenaran kepada pemaju untuk menjalankan pembinaan di tapak berhampiran Stesen LRT Bandaraya, Loke berkata pihak pemaju tidak mematuhi syarat yang dikeluarkan dengan memulakan projek tanpa kelulusan daripada APAD.
Mengikut ketetapan prosedur, beliau berkata sepatutnya syarikat pemaju memulakan pembinaan selepas mendapat kelulusan daripada APAD.
“DBKL bukan mengabaikan. Sebelum kelulusan diberikan APAD dan Prasarana, mereka (syarikat pemaju) telah memulakan kerja. Syarat itu ada tetapi saya bukan nak menyalahkan DBKL dalam hal ini.
“Tetapi pemaju tidak mematuhi syarat tersebut dan telah mula kerja sebelum kelulusan daripada APAD dan Prasarana. Itu yang kita katakan kita harapkan kerjasama daripada pihak PBT.
“Kalau belum ada kelulusan daripada semua agensi terlibat, khususnya dalam kes di mana dekat dengan stesen rel ini, kelulusan APAD dan Prasarana termasuk PBT, mesti tidak membenarkan sebarang kerja pembinaan dimulakan,” katanya.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>