Pesawat Terhempas

 

Kuala Lumpur, 14 Februari 2024, 16:00 – POLIS Selangor telah mengesahkan kematian seorang juruterbang dan seorang pembantu juruterbang dalam nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar.

Datuk Hussein Omar Khan, Ketua Polis Selangor, mengumumkan bahawa kedua-dua mayat lelaki warga tempatan itu ditemui di bahagian kokpit yang terbenam lebih dua meter dalam tanah.

Mayat kedua-dua mangsa, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42, telah dikeluarkan dari lokasi nahas pada jam 8.10 malam dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, turut hadir di tempat kejadian.

Pasukan penyelamat menghadapi kesulitan dalam mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa dan terpaksa menggunakan jengkaut Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kerana lokasi nahas terletak dalam kawasan kelapa sawit.

“Sukar sebab terbenam, tidak boleh korek sembarangan, …lokasi itu dalam kawasan kelapa sawit,” katanya sambil menambah serpihan pesawat terbabit tersebar dalam lingkungan 50 meter.

Beliau menyatakan bahawa siasatan lanjutan akan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU). Polis akan membuka kertas siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) dan Kematian Mengejut. Seramai 150 anggota dari pelbagai agensi terbabit dalam usaha mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengesahkan bahawa pesawat tersebut, dengan nombor pendaftaran I-POOC, dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, pada jam 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1.35 tengah hari, namun tiada panggilan kecemasan diterima,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, Norazman berkata, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.

Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

90 Peratus Madu Tiruan Di Pasaran, Jadi Cabaran Besar Kepada Industri Madu