Madu

 

Kuala Lumpur, 14 Februari 2024, 12:00 – MADU tiruan kini merajai pasaran tempatan dengan kadar mencapai kira-kira 90 peratus, menimbulkan cabaran besar kepada industri madu di negara kita.

Dr. Mohd Zulkifli Mustafa, seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), menyatakan bahawa ujian makmal adalah penting untuk mengenal pasti madu asli yang mempunyai kelebihan dan khasiat dalam aspek kandungan serta kualiti.

Madu dikenali sebagai makanan lengkap yang kaya dengan tenaga, protein, vitamin, bakteria baik, dan antioksida.

Menurut Dr. Mohd Zulkifli Mustafa, melalui kajian, pengambilan madu boleh membantu pencegahan penyakit kronik tidak berjangkit akibat gaya hidup atau jangkitan.

“Kajian yang dilakukan melalui khasiat perubatan mendapati madu kelulut dapat meredakan keradangan akibat jangkitan kuman, tekanan atau stres, obesiti dan penuaan serta penyakit kronik,” katanya.

Universiti Sains Malaysia (USM) telah memulakan projek penyelidikan madu kelulut dengan mengkomersialkan madu tersebut melalui pelan strategik yang melibatkan pembangunan penternak seramai 4,000 orang.

“Ini dilaksanakan di bawah inisiatif dinamakan KELULUNOMIC, untuk menjamin bekalan berterusan dan dipasarkan melalui syarikat spin-off universiti, iaitu Brainey Sdn Bhd.

“Dalam hal ini, kawalan kualiti yang ketat menjamin keaslian dan konsistensi zat madu yang digunakan dalam ujian-ujian klinikal di mana madu yang diuji ini dikeluarkan kepada pengguna,” katanya.

Secara umumnya, madu kelulut mempunyai ciri fizikal yang lebih cair dengan rasa masam manis yang unik serta aroma bunga atau buah.

Dr. Mohd Zulkifli Mustafa menekankan bahawa madu kelulut tidak hanya dianggap sebagai makanan berkhasiat, tetapi juga sebagai suplemen tambahan yang membantu pertumbuhan otak kanak-kanak, meningkatkan sistem imun badan, mengawal tekanan emosi, dan pencegahan nyanyuk dalam kalangan warga emas.

“Perkembangan kajian saintifik menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai bahan unik yang penting untuk dijadikan makanan berfungsi bagi membantu kesihatan malahan dinobatkan sebagai superfood di Malaysia.

“Kandungan bahan antioksida seperti asid fenolik dan flavonoid, bahan asid amino, bakteria baik serta vitamin menjadikan madu kelulut makanan lengkap untuk keperluan nutrien harian.

Gula unik seperti gula trehalulosa menjadikan madu kelulut low glycaemic dan berperanan sebagai gula alternatif yang tidak merosakkan gigi,” jelas Dr. Mohd Zulkifli Mustafa.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Tambang Bas Cekik Darah, Gopeng-Johor Bahru RM241