Kuala Lumpur, 12 Februari 2024, 16:00 – POLIS telah mengesahkan menerima tiga laporan daripada peguam terkenal, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, berhubung dengan ugutan jenayah dan bunuh yang diterimanya melalui media sosial. Laporan-laporan ini muncul selepas beliau memfailkan petisyen di mahkamah berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Datuk Allaudeen Abdul Majid, Ketua Polis Kuala Lumpur, menyatakan bahawa siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Satu kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut manakala dua lagi masih dalam siasatan. Polis juga telah meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang terlibat,” katanya.
Allaudeen pada masa yang sama memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial kerana tindakan sedemikian boleh disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Nik Elin Zurina telah mendedahkan ugutan jenayah yang diterima ketika menjadi tetamu di sebuah program audio siar, termasuk ancaman untuk disembelih, selepas beliau mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Tinggi Persekutuan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas menunjukkan majoriti 8-1 menyokong bahawa 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Keputusan tersebut merupakan hasil daripada petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman, bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen berkenaan.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>