Ross Ariffin
Fahmi menjejaki dan bertemu sendiri dengan Ross selepas mendengar perkhabaran sedih mengenai komposer terkenal itu.

 

Kuala Lumpur, 12 Februari 2024, 12:00 – TIGA tahun hidup sebagai gelandangan, komposer dan pemuzik terkenal, Ross Ariffin, 61, akhirnya dapat bernafas lega setelah diberikan bantuan sebuah rumah untuk memulakan hidup yang baru dan lebih selesa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan bahawa beliau telah mengesan dan bertemu secara langsung dengan Ross, atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, selepas mendengar berita sedih mengenai kehidupan sulit komposer tersebut.

“Saya mohon pertimbangan daripada Dr Zaliha Mustafa, Menteri Wilayah untuk mengenal pasti sebuah unit PPR dan juga cuba dapatkan bantuan asas untuk keperluan rumah beliau.

“Semasa melangkah masuk rumah PPR baharu, Ross macam tak percaya dia akhirnya mempunyai sebuah rumah sendiri untuk diduduki selepas tiga tahun menjadi gelandangan,” kata Fahmi dalam kemas kini di media sosial miliknya.

Komposer yang pernah mencipta lagu untuk artis ternama seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff, dan Liza Aziz itu juga akan kembali berkarya melalui kerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Saya juga berbincang dengan pihak RTM supaya Ross dapat bekerjasama dalam penciptaan lagu baharu bersama RTM supaya dia dapat bangkit semula.

“Kami bertemu Pengarah Muzik, Datuk Mokhzani untuk merancang penerbitan lagu baharu yang boleh beliau gubah. Ross nampak begitu bersemangat untuk kembali berkarya,” tulis Fahmi.

Fahmi berkata bahawa Ross masih mempunyai tekad dan iltizam untuk kembali berkarya, dan pihaknya akan terus membantu untuk memastikan beliau kembali menjadi sebahagian daripada keluarga besar industri hiburan negara.

Antara lagu-lagu popular yang dihasilkan oleh Ross termasuk “Kau dan Aku” (Ning Baizura), “Dia” (Fauziah Latiff), dan “Ceritera Cinta” (Jaclyn Victor dan Rio Febian).

Bagi orang ramai yang ingin memberikan sumbangan kepada Ross, mereka boleh melakukannya melalui akaun berikut:

Roslan Ariffin Bin Jamil

Akaun BSN: 0410041100013234

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Anwar Bangga Penguat Kuasa Tak Gentar Pada Perasuah, Penjenayah