Anwar

 

Kuala Lumpur, 11 Februari 2024, 16:00 – PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada badan penguatkuasaan di negara ini, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, atas keberanian mereka mengambil tindakan tegas terhadap perasuah dan penjenayah.

Beliau menyatakan rasa bangganya atas langkah-langkah profesional yang diambil oleh agensi-agensi ini dalam menangani kumpulan yang merompak kekayaan negara.

“Kita sekarang mengeluh hutang terkumpul mencecah hampir RM1.5 trilion, mahu belanja (dianggap) tidak bertanggungjawab, mahu cermat takut menjejaskan bidang pendidikan, penduduk miskin, kesihatan dan lain-lain.

“Sebab itu saya kata biar ada satu mesej jelas… apapun mahu disergah saya tidak peduli, sebaik sahaja kamu punggah kekayaan negeri untuk kepentingan peribadi atau keluarga, kami tetap bertindak, tangkap dan dakwa kamu baharulah kita boleh jamin keselamatan negara masa akan datang,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Perdana Menteri turut memberikan contoh tindakan PDRM dalam menangani sindiket judi di Sabah yang sebelum ini berleluasa tanpa sebarang tindakan berkesan.

Beliau menyatakan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang mempertikai ketegasan kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan harta negara.

“Ia tidak mudah (ambil tindakan) kerana secara umumnya, semua bersetuju tetapi bila ada tindakan ramai yang mengeluh dan tindakan itu kadang-kadang melibatkan golongan ‘maha kaya’ yang telah mengumpul kekayaan berbilion ringgit (dan) masih ada yang pertahankan.

“Tetapi bila kita ambil tindakan pada golongan perasuah besar negara timbul kenyataan seperti mengapa dendam, mengapa zalim atau mengapa tidak kira umur, saya (merasa) aneh,” katanya.

Anwar juga mengajak penjawat awam untuk menyokong usaha kerajaan dalam menyelamatkan negara dan menolak amalan rasuah. Beliau menegaskan bahawa melalui kerjasama semua pihak, Malaysia dapat menjadi negara yang hebat, adil, dan terhormat di mata dunia.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

THTS, Bank Islam Jalin Kerjasama Tawar Pembiayaan Tunai Umrah Dan Haj