Kuala Lumpur, 10 Februari 2024, 12:00 – POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tanpa cukai kastam dengan rampasan bernilai lebih RM98 juta melalui tiga serbuan di Kuching, Sarawak pada Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Hazani Ghazali, menyatakan bahawa serbuan tersebut merupakan hasil dari kerjasama antara Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak, dan Polis Kontinjen Sarawak.
Hazani menjelaskan bahawa dalam serbuan tersebut, polis berjaya menahan lapan lelaki, termasuk tujuh rakyat tempatan dan seorang warga asing. Selain itu, mereka juga merampas 40,469,600 batang rokok pelbagai jenis dan 44,716 kotak minuman keras tanpa cukai kastam.
“Turut dirampas dalam operasi ini adalah dua jenis kenderaan dan lima unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan mencapai RM98,793,958.51. Kes ini kini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujar Hazani.
Beliau menambahkan bahawa sepanjang tempoh 1 hingga 7 Januari lepas, PDRM telah berjaya menahan 91 individu dan merampas pelbagai barangan tanpa cukai kastam, diesel bersubsidi, serta haiwan dan hidupan liar dengan nilai keseluruhan melebihi RM181 juta.
Hazani menyatakan bahawa kejayaan ini merupakan hasil daripada tiga operasi yang dilaksanakan, iaitu Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1, dan Op Bersepadu Khazanah.
“PDRM sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tanpa cukai kastam, penyelewengan barangan kawalan, dan bersubsidi untuk mencegah kerugian ekonomi negara. Kerjasama daripada orang ramai dalam menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa amat digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya,” tambah Hazani.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>