Kuala Lumpur, 10 Februari 2024, 16:00 – SERAMAI 12,846 pengarah syarikat dan 179,719 individu dikenakan sekatan perjalanan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berdasarkan rekod sehingga 31 Disember lalu.
LHDN menyatakan, menjelang cuti persekolahan sesi 2023/2024, ramai yang merancang percutian. Namun, LHDN menyeru kepada pembayar cukai agar menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan terlebih dahulu untuk memastikan percutian ke luar negara berjalan lancar.
“Untuk makluman, tindakan sekatan perjalanan mengikut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (AKCHT 1976) adalah antara langkah yang diambil oleh LHDN ke atas individu yang gagal membayar cukai.
“Hingga 31 Disember 2023, jumlah kes sekatan perjalanan melibatkan pengarah syarikat adalah sebanyak 12,846 kes manakala individu adalah sebanyak 179,719 kes,” jelas kenyataan LHDN hari ini.
LHDN menasihati pembayar cukai agar menyemak status percukaian mereka melalui portal MyTax yang boleh diakses melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/, serta memeriksa status sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
“”Sekiranya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan cukai serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka adalah dimohon untuk membuat bayaran atau menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.
“Melalui pendekatan Awareness, Education, Services (AES) dalam pelaksanaan operasi percukaian, kita sentiasa terbuka dan komited untuk menjadi pemudahcara kepada pembayar cukai,” katanya.
Oleh itu, katanya, pembayar cukai adalah dinasihatkan untuk tampil ke pejabat LHDN bagi berbincang dan berunding dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik sekiranya berhadapan dengan sesuatu kesalahan atau kesulitan.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh dihantar kepada Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat, dan Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>