Kuala Lumpur, 08 Februari 2024, 16:00 – KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) Malaysia mengambil pendekatan tegas terhadap isu pelabelan yang bersifat diskriminatif dan negatif terhadap minyak sawit.
Dalam satu kenyataan, KPK menegaskan keseriusannya terhadap isu ini dan menyatakan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pelbagai pihak yang terlibat, termasuk pengimport, pengedar, penjual, dan pihak berkaitan.
“Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) telah menjalankan suatu pemeriksaan berhubung Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 terhadap beberapa buah premis di sekitar negeri Selangor pada 26 Januari lepas.
“Pemeriksaan mendapati bahawa masih terdapat beberapa produk makanan di premis-premis tersebut yang mempamerkan secara jelas label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (DLAPO) yang berbentuk pernyataan, ungkapan atau petunjuk seperti ‘tiada minyak sawit’ atau ‘tanpa minyak sawit’,” menurut kenyataan itu.
Premis terbabit yang antaranya menjual makanan bayi dan makanan import didapati mempamerkan DLAPO selain terdapat syarikat pengimport menampal pelekat ‘diimport dan edarkan oleh’ pada label berupa DLAPO pada produk yang diperiksa.
“Semasa pemeriksaan, pengurus premis telah diberi penerangan berhubung larangan penggunaan label tersebut dan telah diminta supaya mengosongkan rak sehingga tindakan susulan diambil.
“Amaran juga telah dikeluarkan kepada premis-premis yang terlibat untuk menghentikan penjualan produk yang mempunyai pelabelan bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit dan mengeluarkan produk sedia ada di pasaran dengan kadar segera,” menurut kementerian itu.
Pihak KPK menyatakan bahawa teknik pelabelan semacam ini memberikan persepsi negatif kepada pengguna, mengimplikasikan bahawa penggunaan minyak sawit membahayakan kesihatan. Selain itu, tindakan tersebut juga dipandang sebagai merosakkan reputasi minyak sawit keluaran negara dan melanggar prinsip perdagangan yang adil dan telus.
Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 yang berkuat kuasa pada 15 Mac 2022 memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengenakan denda tidak melebihi RM220,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun kepada sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut. KPK menyeru semua pihak terlibat untuk mematuhi peraturan ini demi kepentingan kesihatan dan integriti industri minyak sawit negara.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>
Pemberian Tol Percuma Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2024