Tol Percuma

 

Kuala Lumpur, 08 Februari 2024, 12:00 – PENGGUNA lebuh raya yang menggunakan Kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) akan dapat menikmati pengecualian bayaran tol selama dua hari, bermula harı ini, 8 Februari hingga Jumaat, 9 Februari.

Inisiatif ini diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai sebahagian daripada sambutan Tahun Baharu Cina dan telah mendapat persetujuan melalui mesyuarat Jemaah Menteri.

Pemberian tol percuma ini melibatkan semua lebuh raya dan akan berkuatkuasa mulai jam 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Khamis), hingga jam 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Jumaat). Kos implikasi kewangan untuk inisiatif ini dianggarkan mencapai RM42.99 juta.

“Pengecualian tol ini terhad kepada kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) sahaja di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim,” jelas KKR.

Menurut KKR, pemberian tol percuma ini adalah sebagai tanda prihatin dan usaha bersama untuk menyemarakkan kemeriahan Tahun Baharu Cina bersama rakyat Malaysia.

KKR turut menasihatkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan bijak dan mematuhi jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang disyorkan. Aspek keselamatan dan pemanduan selamat turut ditekankan demi memastikan semua pengguna lebuh raya sampai ke destinasi dengan selamat.

“Kami berharap pengguna dapat merancang perjalanan dengan baik dan menikmati sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta. Keadaan trafik dan sebarang insiden di lebuh raya boleh disemak melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) seperti Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau aplikasi X @LLMtrafik,” tambah KKR.

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama meningkat susulan pertambahan kenderaan, berikutan cuti panjang menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada Sabtu ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad memaklumkan setakat 9 pagi Khamis, aliran trafik meningkat di Permatang Pauh-Perai, Slim River-Sungkai, Setia Alam-Shah Alam dan Bandar Gamuda Cove-Bandar Saujana Putra.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata di kawasan selatan negara, kenderaan bergerak perlahan di Ayer Keroh-Jasin manakala aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, LPT 2, Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Skudai lancar di kedua-dua arah.

“Aliran trafik dijangka terus meningkat pada sebelah petang selepas waktu bekerja dan orang ramai mengambil peluang menggunakan kemudahan tol percuma selama dua hari bermula hari ini,” katanya.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM melalui talian 1-800-88-7752 untuk maklumat terkini atau bantuan berkaitan dengan keadaan trafik. Diharapkan dengan inisiatif ini, pengguna dapat menikmati perjalanan mereka dengan lebih selesa dan selamat sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Masuk Percuma Di Malaysia Heritage Studios, 20 Februari Ini