Energy Stick

 

Kuala Lumpur, 08 Februari 2024, 21:00 – KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan siasatan awal terhadap produk penyedut hidung atau Energy Stick yang dijual di negara ini.

Hasil siasatan mendapati produk tersebut tidak berdaftar, yang menyebabkan penjual berpotensi didenda sehingga RM25,000 atau dihukum penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, penjual mungkin dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. Syarikat yang terlibat juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan, menyatakan bahawa penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“KKM telah menerima aduan awam berkait penjualan secara dalam talian produk berkenaan yang disyaki tidak berdaftar. Hasil siasatan awal mendapati keluaran terbabit bukan keluaran berdaftar.

“Ia perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Justeru, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan ke atas penjual yang dikesan menjual produk berkenaan,” katanya.

KKM telah menerima aduan awam berkaitan penjualan dalam talian produk tersebut yang disyaki tidak berdaftar. Saringan awal di platform e-dagang menunjukkan pengiklanan dan penjualan produk oleh penjual tempatan dan luar negara.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk terbabit diturunkan,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna agar memastikan produk kesihatan mempunyai pelekat hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk terbabit.

Status pendaftaran produk boleh disemak di laman https://www.npra.gov.my di ruangan Status Produk atau dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1-800-88-6722.

Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan.

“KKM komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan.

“Orang ramai turut digalak mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM,” kata Muhammad Radzi.

KKM menggalakkan orang ramai untuk membuat aduan dan memberikan maklumat mengenai penjualan produk tidak berdaftar melalui laman web https://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di https://moh.spab.gov.my atau dengan menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan atau talian 03-78413200.

“Aduan dan maklumat ini agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran,” katanya.

Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS), Prof Amrahi Buang, sebelum ini mengeluarkan kenyataan bimbang terhadap penjualan Energy Stick yang dianggap berbahaya kepada kesihatan awam.

Beliau mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, untuk mengambil tindakan tegas terhadap penjual yang mempromosikan produk tersebut.

“Penetapan harga dan pemasaran produk yang didakwa dijual pada harga serendah RM2.50 secara dalam talian menimbulkan kebimbangan serius kerana ia mudah diakses individu termasuk kanak-kanak,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, juga menyuarakan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam menangani isu ini, dengan KPM berjanji untuk bekerjasama dengan KKM dalam mengekang penggunaan produk terbabit dalam kalangan pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga sebelum ini meminta pihak sekolah dan ibu bapa memberi perhatian serius terhadap penggunaan atau pengambilan produk berkenaan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan pelajar.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan KKM dalam usaha mengekang penggunaan produk terbabit dalam kalangan pelajar.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

KPK Pandang Serius Isu Pamer Label Diskriminasi Minyak Sawit