Kuala Lumpur, 04 Februari 2024, 16:00 – SERAMAI 281 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan melalui Operasi Sapu yang digerakkan di Persiaran Raja Muda Musa, pekan Pelabuhan Klang pada Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menyatakan bahawa operasi ini melibatkan kekuatan seramai 348 anggota, termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA), dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Pemeriksaan melibatkan 469 warga asing yang terdiri daripada Indonesia, Nepal, India, Pakistan, Bangladesh, dan Myanmar. Serbuan bermula kira-kira jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Shuhaily menjelaskan bahawa semasa pemeriksaan, sebanyak 228 lelaki dan 53 perempuan warga asing telah ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Semua yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan selanjutnya,” tambah beliau.
Op Sapu ini membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam memerangi masalah pendatang asing tanpa izin yang sering menjadi punca kepada pelbagai isu keselamatan dan kesihatan di negara ini. Langkah tegas ini turut memastikan kawalan sempadan yang lebih cekap bagi melindungi keamanan negara.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>