Polis

 

Kuala Lumpur, 01 Februari 2024, 21:00 – POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dijangka mula menerima 7,648 unit kamera badan (BWC) secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025. Penerimaan itu adalah berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata BWC adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah JPJKK, selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“Ia (BWC) akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat mulai Oktober 2024.

“Pada masa ini, kita menjangkakan BWC akan digunakan sepenuhnya oleh petugas MPV dan URB pada Mac 2025.

Bagi memastikan semua petugas MPV dan URB mahir dalam mengendalikan BWC, latihan penggunaan akan dilaksanakan mulai Mac 2025 hingga Disember 2025,” katanya.

Wan Hassan berkata, PDRM akan ke hadapan sebagai agensi tunggal keselamatan awam negara ini dalam penggunaan teknologi terkini, selaras dengan kepolisan moden.

“Selari dengan perkembangan teknologi dan penugasan kepolisan yang semakin mencabar, adalah menjadi harapan kita supaya penggunaan BWC akan dapat meningkatkan tatakelola yang baik dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dalam kalangan petugas MPV dan URB.

“Dengan tersematnya BWC di pakaian seragam polis, ia akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama orang awam dan polis kerana setiap perbualan mereka dirakam,” katanya.

Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, BWC mampu merekodkan pergerakan di lokasi serta tidak mempunyai fungsi untuk menghapus segala rakaman.

“Setiap pengguna (pegawai, anggota yang memakai BWC) akan dibekalkan ID khas semasa penugasan.

“BWC ini mampu merakam video dan audio sehingga lapan jam penugasan serta akan dijadikan rakaman bukti percakapan dan perbuatan pesalah (individu yang diperiksa),” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Wan Hassan berkata, BWC juga akan disenaraikan sebagai pemakaian wajib semasa penugasan.

“Adalah menjadi kesalahan tatatertib bagi mana-mana pegawai atau anggota polis yang gagal mematuhi arahan pemakaian BWC ini khasnya kepada petugas Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Bagi memastikan arahan pemakaian dan penggunaan BWC dilaksanakan sepenuhnya, prosedur operasi standard (SOP) penggunaannya telah siap dan berada dalam peringkat kemas kini untuk dihebahkan kepada semua peringkat pegawai polis di seluruh kontinjen,” katanya.

Menurutnya, BWC bukan sahaja mampu menangani kes-kes salah laku dan integriti dikalangan petugas MPV dan URB tetapi juga mampu melindungi mereka daripada tohmahan terhadap sebarang tuduhan semasa melaksanakan penugasan.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Anak Muda Pemberani Tekad Galas Aspirasi Capai 5 Juta Pelanggan untuk Tahun 2025