Kuala Lumpur, 31 Januari 2024, 16:00 – MEDAN Selera Singgang Madani @ Batu Bata kini menjadi tumpuan peniaga yang berharap suasana sepi dapat diselubungi impak positif menerusi pemindahan 26 penjaja dari lokasi gerai singgang yang telah dirobohkan di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru.
Sumiati Sianturi, 60, seorang peniaga yang telah berkhidmat hampir 13 tahun di medan selera tersebut, menyatakan bahawa sejak pandemik COVID-19, lokasi tersebut telah kehilangan daya tarikan pelanggan, menyebabkan kurangnya kunjungan.
“Sebelum pandemik, medan selera ini sangat popular, tetapi selepas itu, pengunjung semakin berkurang sehingga hanya lima kedai yang masih beroperasi daripada 40 unit yang terdapat di kawasan ini. Pendapatan harian saya turut menurun drastis dari RM800 kepada kira-kira RM300,” ujarnya.
Sumiati mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan membuka kaunter tiket bas di medan selera ini sebagai usaha untuk meningkatkan kehadiran pelanggan, terutamanya kerana kawasan tersebut berhampiran dengan Hab Bas Titiwangsa.
“Langkah ini mungkin dapat menarik orang ramai untuk singgah dan menikmati makanan di medan selera ini selepas membeli tiket sambil menunggu bas yang dinanti tiba. Masalah kekurangan tempat letak kereta juga perlu diberi perhatian serius oleh DBKL,” tambahnya.
Mawarni Mohd Kamel, 39, turut memberi pujian kepada DBKL atas usaha menyediakan ruang niaga baru bagi peniaga gerai singgang untuk meneruskan perniagaan mereka.
“Sebahagian peniaga telah memindahkan barang dagangan ke dalam kedai baru mereka, namun masih ada yang belum selesai proses pemindahan,” katanya.
Mawarni turut mengesahkan bahawa fasiliti di Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata adalah lengkap dan kemas, dengan kemudahan surau, tandas, dan meja yang teratur.
Sebelum ini dikenali sebagai Medan Selera Damai, DBKL telah merobohkan gerai-gerai tersebut pada Isnin (22 Januari) selepas memberi notis pengosongan tapak sejak Oktober lalu. Transformasi ini diharapkan dapat memberikan nafas baru kepada Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata, terutamanya dengan penambahan gerai-gerai yang baru.
Medan Selera Singgang Madani @ Batu Bata, Titiwangsa sebelum ini dikenali sebagai Medan Selera Damai namun ia ditukar sejajar dengan lokasi tersebut yang terkenal dalam kalangan peminat ikan singgang di Kuala Lumpur.
#PrezCom
Baca lebih banyak artikle di sini :>