JAWI

 

Kuala Lumpur, 30 Januari 2024, 21:00 – JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyambut Jubli Emas pada tahun ini dengan penuh kemeriahan. Sebanyak 28 program bermanfaat telah dirancang untuk disajikan kepada masyarakat sepanjang tahun ini.

Menurut kenyataan daripada JAWI, Wilayah Persekutuan Berselawat akan menjadi acara pembuka tirai bagi sambutan Jubli Emas ini. Acara ini dijadualkan pada 31 Januari 2024 (Rabu) di Dewan Solat Utama, Masjid Wilayah Persekutuan.

“Sesi Tausiyah akan disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin, dan turut diadakan Doa Untuk Malaysia, bacaan selawat, dan qasidah yang menampilkan kumpulan nasyid Inteam dan Almawlid, dengan sasaran kehadiran 3,000 peserta dari penduduk Wilayah Persekutuan,” kata kenyataan tersebut.

Program seterusnya adalah Siaran Langsung Forum Perdana Ehwal Islam pada 1 Februari 2024 (Khamis) bertajuk “Budi Sematang Usia.” Forum ini akan menampilkan pendakwah terkenal seperti Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, dan Imam Muda Asyraf.

Selain itu, beberapa program menarik lain turut dijadualkan sepanjang sambutan Jubli Emas ini, termasuk pelancaran Surau Bergerak, Majlis Akad Nikah Rahmah, Seminar Keluarga Bahagia, Aktiviti Menyantuni & Penerangan Berunsur Nasihat (AMPUN), Iftar MADANI Jamaie, Qiamullail Perdana (Nuzul Al-Quran), dan Aidilfitri Malaysia Madani@Dataran Merdeka.

“Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun JAWI turut diadakan bersama beberapa acara lain seperti Perasmian ‘Ilaj Home,’ Pelancaran Persempadanan Kariah Masjid, Khutbah Jumaat Khas, Kem Ibadah Perdana OKU Penglihatan & Pendengaran, Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Khas, Hari Bertemu Pelanggan JAWI, Seminar Keluarga Sakinah MADANI, Jelajah Institut Pendidikan Islam JAWI Labuan, Malam Kesenian Islam, Liga Festival Nasyid Institut Pendidikan Islam JAWI, Simposium Kursus Pengurusan Jenazah Perdana, Konvensyen Akidah Wilayah Persekutuan, Pelancaran Ikon Mualaf, Perasmian Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Labuan, Penerbitan Buku 50 Tahun JAWI, Pelancaran Penarafan Tandas Masjid Lima Bintang, Pelancaran Akademi Al-Quran, dan JAWI Fun Run,”kata kenyataan itu.

Sempena sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024, JAWI memilih slogan “Membangun Khaira Ummah” sebagai tema sambutan. Slogan ini merangkumi matlamat tertinggi yang ingin dicapai, selaras dengan visi untuk mencapai kesejahteraan ummah.

“Khaira Ummah” hanya dapat dicapai apabila gerak kerja dakwah, iaitu amar makruf dan nahi mungkar, diimplementasikan dalam masyarakat, dan Islam menjadi “way of life.”

“Dalam konteks ini, azam dan tekad JAWI adalah untuk memperluas fungsi dan peranan, selaras dengan kemaslahatan dan dinamika masyarakat, iaitu kemampuan beradaptasi dengan perubahan. Perhatian utama akan diberikan kepada proses pengukuhan syariah dan akhlak, serta pemantapan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tambahnya.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Dituduh Tak Isytihar Harta, Daim Bayar Ikat Jamin Rm280,000