STR

 

Kuala Lumpur, 27 Januari 2024, 12:00 – KEMENTERIAN Kewangan (MOF) Malaysia telah mengumumkan bahawa pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan bermula pada Isnin ini, memberi manfaat kepada lebih daripada 8.2 juta penerima.

Pembayaran ini akan dilakukan melalui pengkreditan ke akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan kategori kelayakan STR masing-masing.

MOF menjelaskan bahawa kerajaan telah meningkatkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah, berbanding dengan bayaran maksimum RM300 pada tahun sebelumnya. Langkah ini diambil untuk membantu sejumlah besar rakyat mengatasi kesan kenaikan kos sara hidup.

Penerima kategori isi rumah dengan pendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima RM500 melalui pembayaran STR Fasa 1, manakala isi rumah dengan pendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 layak menerima RM100 hingga RM300.

Penerima bagi kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang pula masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.

Dalam kenyataan serentak, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau sentiasa prihatin dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat dan lebih besar daripada pendapatan.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan MADANI untuk meningkatkan bantuan kerajaan dengan lebih ketara, memastikan masalah asas ini dapat diatasi dengan berkesan.

“Saya akur akan keperitan ini, justeru kerajaan giat berusaha untuk memastikan bantuan kerajaan dapat dipertingkat dengan lebih ketara agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat di belakang, di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.

“Selaras dengan pendekatan Ekonomi MADANI untuk ‘meninggikan lantai’ dari segi kualiti hidup rakyat, kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya,” kata Perdana Menteri.

MOF turut memaklumkan bahawa sehingga kini, 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024. Walau bagaimanapun, angka tersebut dijangka meningkat kepada hampir sembilan juta dengan adanya proses permohonan baharu dan kemas kini sepanjang tahun, berbanding setahun sekali seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

MOF menasihati orang ramai untuk menyemak status kelayakan STR dan mendapatkan jawapan bagi soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my/ atau https://manfaat.mof.gov.my/.

Kementerian itu juga mengingatkan mereka yang tidak tersenarai dalam pangkalan data STR agar membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan dilaksanakan dengan berkesan. Selain itu, orang awam dinasihatkan untuk berwaspada terhadap pautan yang tidak sahih yang mungkin merujuk kepada maklumat palsu berkenaan dengan program STR.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Scammer Godam Whatsapp, Telegram