Thaipusam

 

Kuala Lumpur, 24 Januari 2024, 21:00 – KHAMIS ini, kira-kira dua juta penganut Hindu dan pengunjung dijangka membanjiri Batu Caves sempena perayaan Thaipusam. Dalam menyambut peristiwa bersejarah ini, tujuh jalan utama akan ditutup untuk memastikan kelancaran acara tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan bahawa keputusan penutupan jalan bergantung kepada situasi semasa lalu lintas. Seramai 1,600 anggota polis akan diatur gerak bagi memastikan keselamatan di sekitar Batu Caves semasa perayaan Thaipusam.

Menurutnya, ia membabitkan pegawai dan anggota dari kontinjen Selangor, Bukit Aman dan kontinjen luar bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan kehadiran ribuan penganut agama Hindu yang membanjiri kawasan berkenaan.

“Jalan yang ditutup antaranya di simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala Batu Caves; lampu isyarat Jalan Station selain susur dari arah Bulatan Batu Caves Jalan Lingkaran Tengah (MRR) 2 menghala ke kuil.

“Kita juga akan menutup susur dari arah Gombak ke MRR2; simpang tiga Jalan SBC 8/Jalan Batu Caves lama dan susur MRR2 dari Seri Gombak menghala Jalan Perusahaan Batu Caves,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Hussein berkata, hebahan berkaitan penutupan jalan akan disiarkan melalui papan kenyataan elektronik dari arah bulatan Batu Caves menghala ke Gombak dan menerusi laman rasmi Facebook Polis daerah Gombak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial yang dinyatakan dari semasa ke semasa.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Katanya, Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas Rapid dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter kepada pengunjung pada 24 dan 25 Januari ini.

“Oleh itu, pengunjung yang merancang untuk menghadiri ke kuil dinasihat menggunakan pengangkutan awam yang disediakan dan menggunakan jalan alternatif yang ada.

“Pengunjung dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan di parkir haram sebaliknya letak di tempat yang dibenarkan dan tidak parkir sesuka hati,” jelasnya.

Hussein menegaskan bahawa kawasan kuil adalah larangan bagi penggunaan dron. Mereka yang ingin menggunakan dron perlu membuat permohonan kepada Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)

“Sebarang kegiatan ataupun aktiviti yang mengganggu lalu lintas dan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan serta merta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga barang berharga bagi mengelak kecurian dan mengawasi pergerakan anak-anak serta mematuhi arahan pihak polis.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

MyAngkasa Amanah Lancar Tiga Produk Baharu Sempena Ulang Tahun Ke-10