Pakaian Sekolah

 

Kuala Lumpur, 20 Januari 2024, 21:00 – KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah mengumumkan kelulusan bagi murid-murid untuk memakai pakaian seragam sekolah selama dua hari, pakaian sukan selama dua hari, dan pakaian kokurikulum selama satu hari pada sesi persekolahan 2024/2025 yang bermula pada bulan Mac ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa kelulusan tersebut adalah hasil daripada garis panduan baharu yang dikenalkan oleh KPM mengenai pemakaian seragam murid.

“KPM telah memutuskan bahawa untuk sesi 2024/2025 yang bermula pada bulan Mac ini, selepas proses perbincangan yang melibatkan semua pihak termasuk pemegang taruh, pemakaian pakaian seragam di sekolah akan diatur seperti berikut:

“Dua hari memakai pakaian seragam, dua hari pakaian sukan, dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya.

Fadhlina menjelaskan bahawa perincian lanjut mengenai garis panduan tersebut akan disampaikan kepada semua pihak dalam masa terdekat.

Selepas majlis amanat tersebut, Fadhlina menyatakan bahawa pihak sekolah akan diberi kebebasan untuk menentukan hari-hari pemakaian seperti yang ditetapkan dalam garis panduan yang baru diperkenalkan.

“Ya, butiran lanjut mengenai kebebasan ini akan dinyatakan dalam surat makluman yang akan diberikan tidak lama lagi. Kebebasan ini diberikan kepada pihak sekolah, asalkan mereka mematuhi ketetapan dua hari memakai pakaian seragam, dua hari pakaian sukan, dan sehari pakaian kokurikulum.

“Selain itu, keputusan ini merupakan langkah untuk meringankan beban ibu bapa yang ingin membuat persiapan lebih awal,” katanya.

Pada 3 Mei tahun sebelumnya, KPM telah memberikan kelulusan khas kepada murid, guru, dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan ketika cuaca panas dan kering.

Bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah, tidak lagi diwajibkan memakai tali leher, terutamanya apabila cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang boleh membahayakan kesihatan.

Fadhlina juga menyuarakan kegembiraannya dengan inisiatif penambahan guru. Beliau menjelaskan bahawa hingga Disember 2023, KPM telah berjaya menempatkan sejumlah 18,792 guru baharu.

“Dengan secara peribadi saya merasai kegembiraan ini, iaitu penambahan signifikan dalam pengambilan guru baharu. Insya-Allah, jumlah guru baharu ini akan terus bertambah sebelum tamatnya sesi penggal persekolahan 2023/2024,” katanya.

#PrezCom

Baca lebih banyak artikle di sini :>

Penerbit Dan Pengarah Filem Mentega Terbang Didakwa Hina Agama